




PMX SERU PESERTA BAHAS PIALA PERDANA MENTERI BERHUJAH TEGAS, PENUH ADAB
9 September 2026 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan peserta Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Edisi Ke-51 yang akan berlangsung esok di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya.
Beliau berkata pertandingan yang telah berlangsung lebih lima dekad itu terus menjadi warisan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai gelanggang untuk menguji keberanian, memperkukuh ilmu pengetahuan serta mengasah keupayaan generasi muda dalam berhujah.
Menurut Anwar, pertandingan berkenaan bukan sekadar medan persaingan, sebaliknya menjadi ruang kepada anak muda untuk belajar menyusun pemikiran, mempertahankan pendirian dan pada masa sama menghormati pandangan yang berbeza.
Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap peserta yang peka dengan perkembangan semasa, berani mengemukakan persoalan serta kritis dalam menilai pelbagai isu.
“Berbahaslah dengan tegas tetapi penuh adab, berhujah tanpa membenci dan berbeza pandangan tanpa bermusuhan,” katanya.
Anwar menegaskan demokrasi yang sihat bukan hanya memerlukan keberanian untuk bersuara, tetapi turut menuntut kesediaan untuk mendengar dan menghormati perbezaan pandangan.
Beliau turut menyampaikan ucapan “Selamat berbahas” kepada semua peserta yang akan menyertai pertandingan akhir berkenaan.
