Tun Razak Arkitek Pembangunan Negara Bangsa – PMX

Perdana Menteri menyifatkan Almarhum Tun Razak Hussein sebagai negarawan Melayu yang besar, namun perjuangannya tidak pernah terhenti pada batas kaum.

Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, keprihatinan bekas Perdana Menteri kedua Malaysia itu terhadap nasib rakyat diterjemahkan menerusi pelbagai pembaharuan institusi yang dilaksanakannya.

Pembelaan Tun Razak terhadap rakyat juga, tambah Anwar lagi dilakukan melalui gagasan Dasar Ekonomi Baru yang antara matlamat utamanya adalah menstruktur semula masyarakat dan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum.

Anwar berkata demikian dalam coretan di Facebooknya selepas menyampaikan ucapan di Majlis Mengenang Negarawan Tun Razak Hussein yang merupakan seorang tokoh besar yang telah meletakkan asas kukuh dalam pembinaan negara, sekali gus dikenang sebagai Arkitek Pembangunan Negara Bangsa.

“Seperti diungkapkan pemikir dan filsuf Perancis, Roger Garaudy, mengenang tokoh silam bukan sekadar nostalgia untuk menyingkap pengalaman lalu, tetapi untuk menyemarakkan kembali obor perjuangan mereka, “not to bury the ashes of the dead, but to rekindle its flame”,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Anwar juga mengimbau bahawa beliau adalah antara anak muda yang beruntung kerana berkesempatan mengenali Almarhum dari dekat.

“Di sebalik kedudukannya sebagai negarawan besar, Almarhum sentiasa membugar budaya wacana bersama anak-anak muda, termasuk mendengar keresahan, idealisme dan pandangan kami yang ketika itu adakalanya keras dalam menuntut perubahan.

“Antara pesan Almarhum yang paling saya hadam sebagai anak muda ialah peringatannya mengenai tiga ancaman besar negara, atau 3C, yakni Communism, Communalism and Corruption (komunisne, perkauman dan rasuah)

“Komunisme ketika itu merupakan ancaman bersenjata, sementara faham perkauman sempit berupaya meretakkan sebuah negara berbilang kaum.

“Lebih jauh pandangannya apabila seawal dekad 1970-an, Almarhum telah mengingatkan bahawa rasuah yang mula menghinggapi golongan berkuasa merupakan ancaman besar kepada negara,” tegas Perdana Menteri.

Bagi Anwar, pesanan Almarhum itu terus relevan merentas zaman dan tanggungjawab generasi hari ini bukan sekadar mengenang jasa serta sejarah Almarhum Tun Abdul Razak, sebaliknya menghayati keberanian, integriti serta cita-cita besarnya untuk mengangkat martabat rakyat, membina sebuah negara yang adil, bersatu dan bermaruah.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *