
REMBAU | Rasa curiga seorang pemandu e-hailing terhadap pelanggan warga emas yang terlalu lama berada dalam bank berjaya menyelamatkan wanita berusia 71 tahun daripada menjadi mangsa love scam membabitkan wang RM10,000, semalam.
Pemandu berkenaan, Noraini Othman, 61, berkata dia menghantar mangsa ke sebuah bank kira-kira jam 5.30 petang selepas wanita itu memaklumkan mahu membuat pemindahan wang.
Namun, selepas menunggu agak lama di luar bank, Noraini berasa curiga sebelum masuk mencari mangsa.
Ketika ditemui, mangsa sedang dibantu seorang individu untuk memasukkan RM10,000 ke dalam akaun tertentu.
Noraini yang mengesyaki transaksi itu mempunyai kaitan dengan penipuan love scam kemudian menghubungi polis.
Menurutnya, mangsa mendakwa mahu memindahkan wang berkenaan selepas diarahkan seorang lelaki yang dikenalinya menerusi WhatsApp dan menyamar sebagai peguam.
Mangsa juga dipercayai sudah mengeluarkan wang simpanannya daripada Tabung Haji untuk tujuan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, tindakan pantas pemandu e-hailing itu berjaya menghalang transaksi berkenaan.
Katanya, polis yang tiba di bank mendapati mangsa sedang cuba memasukkan RM10,000 ke dalam akaun terbabit.
Transaksi berjaya dihentikan dan wang RM10,000 itu dimasukkan semula ke dalam akaun BSN milik mangsa.
