
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dilaporkan perlahan dan sesak susulan peningkatan jumlah kenderaan sempena cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan.
Menurut Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kesesakan berlaku di beberapa laluan utama ke utara, selatan dan Pantai Timur.
Antara lokasi terjejas ialah Sungai Buloh–Bukit Beruntung, Changkat Jering–Taiping Utara, Bangi–Southville City, Nilai Utara–Pedas Linggi serta Gombak–Genting Sempah.
LLM menjangkakan trafik tinggi dan perlahan berterusan sehingga lewat malam berikutan orang ramai pulang ke kampung dan bercuti.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan, memastikan kenderaan dalam keadaan baik serta mengikuti perkembangan trafik melalui platform rasmi LLM.
