PERKEMBANGAN TERKINI BANJIR DI DAERAH RASUWA, NEPAL

27 Ogos 2026

Kementerian Luar Negeri sedang memantau rapi situasi susulan banjir besar yang dicetuskan oleh
limpahan Sungai Bhote Koshi di Daerah Rasuwa, Nepal, pada 26 Ogos 2026.

Berdasarkan maklumat terkini yang diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan
sumber-sumber lain yang berkaitan, 55 orang warganegara Malaysia yang dilaporkan kepada Kedutaan
Besar Malaysia di Kathmandu masih belum dapat dihubungi.

Kementerian memahami bahawa gangguan
teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas mungkin menyumbang
kepada kesukaran untuk menghubungi mereka.

Menurut pihak berkuasa tempatan, banjir tersebut telah menyebabkan kerosakan teruk kepada
infrastruktur, termasuk jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi.

Operasi mencari dan
menyelamat sedang dijalankan, namun akses ke kawasan terjejas masih terhad.

Kementerian
merakamkan ucapan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Nepal, khususnya kepada keluarga mangsa
yang terkorban, serta menzahirkan simpati kepada semua yang terjejas akibat bencana ini.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan
mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital-hospital
utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan warganegara
Malaysia yang terlibat.

Pada peringkat ini, Kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi
mengenai kemalangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia.

Pada masa yang sama, Kementerian telah mengambil langkah segera untuk menempatkan seorang
pegawai daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh bagi membantu Kedutaan Besar
Malaysia di Kathmandu.

Kementerian juga mengaktifkan Bilik Operasi di Putrajaya berkuat kuasa mulai
jam 12.00 tengah hari ini bagi menyelaras maklumat serta menyediakan saluran komunikasi langsung
untuk rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga mereka.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas
serta ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Kementerian melalui saluran
berikut:

BILIK OPERASI KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Nombor telefon: +603 8887 4570
Emel: dutyofficer@kln.gov.my

Ahli keluarga juga boleh mengemukakan butiran berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual
perjalanan, lokasi terakhir yang diketahui dan nombor telefon yang boleh dihubungi, kepada Kedutaan
Besar Malaysia di Kathmandu melalui e-mel mwkathmandu@kln.gov.my dan menyalinkan e-mel tersebut
kepada Bilik Operasi Kementerian melalui dutyofficer@kln.gov.my bagi memudah cara penyelarasan.

Rakyat Malaysia yang menetap atau dalam perjalanan di Nepal, khususnya mereka yang berada atau
berhampiran kawasan terjejas adalah dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengutamakan
keselamatan diri dan mematuhi semua arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat
Malaysia juga digesa untuk mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing secara
berkala melalui portal e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Kementerian Luar Negeri akan terus memantau perkembangan dan memberikan maklumat terkini
sekiranya perlu.

PUTRAJAYA
27 Ogos 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *