
23 Ogos 2026
Kementerian Luar Negeri sedang memantau rapat perkembangan situasi keselamatan susulan beberapa insiden yang dilaporkan berlaku di wilayah sempadan selatan Thailand, melibatkan Yala, Pattani dan Narathiwat, pada malam 22 Ogos 2026.
Pasukan keselamatan tempatan dilaporkan telah mempertingkat kawalan dan langkah keselamatan di kawasan yang terjejas, termasuk melaksanakan perintah berkurung sementara.
Setakat ini, tiada laporan mengenai mana-mana warganegara Malaysia yang terjejas akibat insiden berkenaan.
Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memantau perkembangan semasa serta memastikan keselamatan dan kebajikan warganegara Malaysia di kawasan terlibat.
Sehubungan itu, warganegara Malaysia yang menetap, melakukan perjalanan atau berhasrat untuk keluar dan masuk ke wilayah-wilayah sempadan selatan Thailand dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan, sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan mematuhi sepenuhnya semua nasihat keselamatan, perintah berkurung serta arahan yang dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa tempatan.
Bagi memudahkan komunikasi serta penyaluran bantuan konsular dengan lebih pantas, warganegara Malaysia juga digesa untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan menerusi portal e-Konsular.
Portal e-Konsular Kementerian Luar Negeri
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau dalam keadaan kecemasan, warganegara Malaysia boleh menghubungi perwakilan Malaysia di Thailand melalui maklumat berikut:
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI BANGKOK
Telefon: +66 2 340 5720
E-mel: mwbangkok@kln.gov.my
KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI SONGKHLA
Talian Kecemasan: +(6674) 316 274 / +(6681) 990 1930
Pertanyaan Umum: +(6674) 324 004 / +(6674) 312 353
E-mel: mwsongkhla@kln.gov.my
Kementerian Luar Negeri akan terus memantau situasi semasa dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya diperlukan.
BAHAGIAN KOMUNIKASI DAN DIPLOMASI AWAM
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
23 OGOS 2026
