LANDSKAP KESELAMATAN YANG JAUH LEBIH KOMPLEKS DAN SUKAR DIRAMAL PERLUKAN KESIAPSAGAAN, KEUPAYAAN DAN DAYA TAHAN LEBIH TINGGI – PEMANGKU SULTAN JOHOR

Landskap keselamatan yang kian berubah menjadi lebih kompleks dan sukar diramal memerlukan tahap kesiapsiagaan, keupayaan dan daya tahan yang lebih tinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, bertitah dengan perubahan geopolitik Indo-Pasifik, perkembangan di Laut China Selatan serta kemunculan ancaman moden serta persaingan kuasa-kuasa besar, angkatan tentera tidak boleh berasa selesa dengan keupayaan yang sedia ada.

β€œTindakan dan perhatian yang lebih serius terhadap keperluan Rejimen Gerak Khas merangkumi kelengkapan, persenjataan, mobiliti, teknologi, sistem sokongan, serta aset operasi perlu berada pada tahap yang terbaik dan bersesuaian dengan tuntutan operasi semasa serta masa hadapan.

β€œJusteru itu, saya ingin mengingatkan kepada pucuk pimpinan Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia, dan Tentera Darat Malaysia, ini adalah tanggungjawab anda semua,” titah Baginda.

DYAM Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian ketika berangkat selaku Wakil Rasmi KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, merangkap Kolonel Komandan GGK, ke Majlis Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas ke-61 di Kem Iskandar, Mersing.

Turut berangkat mengiringi Pemangku Sultan Johor, YAM Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor.

DYAM Tunku Mahkota Ismail turut bertitah menggesa pihak kerajaan agar segala proses pembangunan dan perolehan mesti berasaskan keupayaan, kualiti dan keberkesanan operasi dalam memberi nilai terbaik kepada Rejimen Gerak Khas.

β€œSetiap rancangan pembangunan dan perolehan Rejimen Gerak Khas melalui Rancangan Malaysia Ke-13 perlu diberi keutamaan dan perhatian serius.

β€œPerolehan hendaklah mengambil kira teknologi terkini, keberkesanan kos, kesesuaian operasi dan keperluan jangka masa panjang.

β€œPembaziran, kelewatan yang tidak munasabah ataupun perolehan yang gagal memenuhi keperluan pengguna adalah sesuatu yang tidak seharusnya berlaku,” titah Baginda.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *