
KUALA LUMPUR, 18 Ogos 2026 — Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak yang menggunakan nama, logo atau pengalaman bekerjasama dengan KWSP bagi meyakinkan orang ramai.
KWSP menegaskan bahawa tidak semua pihak diberikan kebenaran untuk mewakili KWSP atau menawarkan perkhidmatan bagi pihak KWSP. Justeru, dakwaan seseorang atau sesebuah pihak yang mendakwa mempunyai hubungan dengan KWSP perlu disemak terlebih dahulu.
Sekiranya didatangi atau dihubungi oleh ejen yang mendakwa mewakili KWSP, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terburu-buru membuat keputusan akibat tekanan atau desakan.
Sebaliknya, pastikan terlebih dahulu bahawa ejen berkenaan benar-benar diberi kuasa oleh KWSP dan fahami dengan jelas produk atau perkhidmatan yang ditawarkan sebelum membuat sebarang keputusan.
Orang ramai juga disaran mengamalkan prinsip “Berhenti, Semak dan Sahkan” bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan yang mengeksploitasi kepercayaan terhadap nama dan identiti KWSP.
PESANAN PENTING:
- Jangan mudah percaya hanya kerana pihak berkenaan menggunakan nama atau logo KWSP.
- Semak kesahihan pihak atau ejen yang menghubungi anda.
- Jangan membuat keputusan kerana desakan atau tekanan.
- Fahami sepenuhnya produk atau perkhidmatan sebelum bersetuju.
- Gunakan saluran rasmi KWSP untuk mendapatkan pengesahan.
Keselamatan maklumat dan simpanan anda bermula dengan tindakan untuk menyemak sebelum percaya.
Sumber: Facebook Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
