MALAYSIA–KENYA PERKUKUH KERJASAMA PERTANIAN DAN KETERJAMINAN MAKANAN

PUTRAJAYA, 14 Ogos 2026 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, menerima kunjungan hormat daripada Tuan Yang Terutama Ekitela Moru, Pesuruhjaya Tinggi Kenya ke Malaysia pada 13 Ogos 2026.

Pertemuan julung kali tersebut memberi ruang kepada kedua-dua pihak meneroka potensi kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, selain membincangkan penyertaan Kenya dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Hubungan perdagangan pertanian Malaysia–Kenya sehingga Disember 2025 merekodkan nilai sebanyak RM5.38 bilion, merangkumi eksport minyak kelapa sawit dan pelbagai produk makanan diproses, serta perdagangan produk kopi, koko dan rempah.

Dalam pertemuan itu, Pesuruhjaya Tinggi Kenya turut mengesahkan penyertaan Kenya dalam MAHA 2026, yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 di MAEPS Serdang, Selangor.

Penyertaan Kenya mencerminkan minat negara tersebut untuk memperluas hubungan perdagangan dan kerjasama dalam sektor agro makanan, selain membuka ruang kepada penerokaan pasaran baharu.

Kedua-dua pihak turut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama, khususnya dalam aspek akses pasaran baharu serta pengharmonian standard produk pertanian, bagi memudah cara perdagangan dan meningkatkan peluang pasaran.

YB Menteri turut mengalu-alukan penyertaan lebih besar pihak Kenya dalam MAHA 2026 yang membawa tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.

Kerjasama Malaysia–Kenya dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan berpotensi memperkukuh hubungan dua hala, memperluas jaringan perdagangan agro makanan serta menyokong usaha mewujudkan sistem makanan yang lebih berdaya tahan dan mampan.

Sumber: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)
Sorotan Berita Jendela Madani

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *