
PUTRAJAYA, 14 Ogos 2026 – Malaysia terus menunjukkan daya tahan ekonomi yang kukuh apabila ekonomi negara berkembang 6.0 peratus pada suku kedua 2026 (S2 2026), meningkat daripada 5.4 peratus pada suku sebelumnya.
Prestasi tersebut merupakan pertumbuhan suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014, sekali gus mengatasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan unjuran median Bloomberg sebanyak 5.8 peratus.
Pertumbuhan S2 2026 turut menjadikan pertumbuhan ekonomi bagi separuh pertama 2026 kepada 5.7 peratus, meletakkan ekonomi negara pada landasan yang kukuh untuk mencapai unjuran pertumbuhan Kerajaan antara 4.0 hingga 5.0 peratus bagi keseluruhan tahun 2026.
Antara pemacu utama pertumbuhan ialah permintaan domestik yang berdaya tahan serta sektor luar negeri yang terus rancak.
Penggunaan swasta berkembang 4.8 peratus, disokong oleh peningkatan perbelanjaan dalam sektor restoran dan hotel, pengangkutan serta makanan dan minuman, termasuk aktiviti berkaitan musim perayaan, cuti sekolah dan pelancongan.
Pelaburan swasta dan awam turut kekal berkembang, khususnya melalui pelaburan dalam sektor teknologi serta pelaksanaan projek infrastruktur utama di seluruh negara.
Pasaran buruh juga terus menyokong aktiviti ekonomi apabila guna tenaga meningkat 1.1 peratus kepada 16.8 juta orang, manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 3.0 peratus.
Sektor luaran negara turut mencatat prestasi memberangsangkan. Nilai dagangan meningkat 34.1 peratus kepada RM1 trilion, manakala lebihan dagangan melonjak lebih lima kali ganda kepada RM84 bilion, didorong permintaan tinggi terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) serta produk petroleum.
Aktiviti perindustrian pula terus mengukuh dengan Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 7.7 peratus pada S2 2026, disokong oleh pertumbuhan pengeluaran dalam sektor pembuatan, perlombongan dan elektrik.
Dalam aspek kestabilan harga, inflasi Malaysia kekal terkawal pada 1.9 peratus pada S2 2026, walaupun ekonomi global berdepan gangguan rantaian bekalan dan tekanan harga.
Kerajaan MADANI terus mengambil langkah proaktif bagi melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan kejutan ekonomi global, termasuk meneruskan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup, khususnya golongan yang paling terkesan.
Kerajaan pada masa yang sama kekal komited meneruskan agenda reformasi ekonomi dan memperkukuh disiplin fiskal. Usaha ini selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, termasuk sasaran mengurangkan defisit fiskal kepada 3 peratus atau lebih rendah dalam jangka sederhana.
Kerajaan MADANI menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi bukan semata-mata dinilai melalui angka KDNK, tetapi perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti, kesejahteraan rakyat serta sokongan yang berkesan kepada golongan rentan.
Dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik, gangguan rantaian bekalan global dan perubahan ekonomi dunia, Kerajaan akan terus memperkukuh asas ekonomi negara, menarik pelaburan berkualiti tinggi, memanfaatkan perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), serta memperluas peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Prestasi S2 2026 ini mencerminkan ketahanan asas ekonomi Malaysia serta keberkesanan langkah reformasi dan dasar ekonomi MADANI dalam memastikan momentum pertumbuhan terus diperkukuh secara mampan dan manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat.
Sumber: Facebook Kementerian Kewangan Malaysia
