PENJAGAAN KESIHATAN KETIKA JEREBU

13 Ogos 2026

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk kepada bacaan Indeks
Pencemar Udara (IPU) menerusi Sistem Pengurusan Indeks
Pencemaran Udara (APIMS) pada pukul 9.00 pagi, 11 Ogos 2026 yang
menunjukkan 10 stesen mencatatkan bacaan IPU pada tahap Tidak Sihat
(IPU 101 hingga 200).

Kawasan yang terjejas melibatkan sembilan (9) kawasan di Sarawak iaitu
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Samarahan, Kuching, Bintulu,
Samalaju, Mukah, Sibu, Sarikei, dan Sri Aman serta satu (1) kawasan di
Selangor iaitu Johan Setia.

Setakat ini, tiada kawasan mencatatkan
bacaan IPU pada tahap Sangat Tidak Sihat atau Berbahaya.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) turut
memaklumkan bahawa 19 kawasan di Sarawak berpotensi tinggi terjejas
sekiranya aktiviti pembakaran terbuka berterusan.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai, khususnya di kawasan
yang terjejas, supaya mengambil langkah-langkah berikut:

 Kurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti lasak di luar bangunan,
khususnya apabila IPU melebihi 100;

 Kurangkan berada di luar bangunan dan gunakan pelitup muka
yang sesuai sekiranya perlu berada di luar bangunan;

 Tutup tingkap dan pintu bagi mengurangkan kemasukan udara
tercemar serta elakkan aktiviti yang meningkatkan pencemaran
udara dalaman termasuk merokok;

 Gunakan mod kitaran semula udara dalaman pada penyaman
udara ketika memandu dan, jika berkemampuan, gunakan alat
penapis udara di rumah;

 Minum air secukupnya dan pastikan badan kekal terhidrat;

 Berikan perhatian dan perlindungan khusus kepada golongan
berisiko seperti kanak-kanak, warga emas, dan individu yang
menghidap penyakit kronik dengan mengurangkan pendedahan
mereka kepada jerebu; dan

 Segera dapatkan rawatan sekiranya mengalami sesak nafas, batuk
berpanjangan, atau gejala lain yang semakin teruk.

KKM turut menyarankan institusi pendidikan, agensi kerajaan, dan pihak
swasta supaya sentiasa memantau bacaan IPU semasa serta
menyesuaikan aktiviti luar mengikut tahap kualiti udara.

Aktiviti sukan,
kokurikulum, dan aktiviti fizikal lasak di luar bangunan disarankan supaya
ditangguhkan atau dipindahkan ke dalam bangunan yang sesuai apabila
IPU melebihi 100.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran
terbuka yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan
meningkatkan risiko kesihatan akibat jerebu.

KKM telah memperkukuh survelan penyakit berkaitan jerebu di fasiliti
kesihatan KKM bagi memantau sebarang peningkatan kes dan
mengesan perubahan trend penyakit berkaitan jerebu.

Kesiapsiagaan
fasiliti kesihatan, bekalan ubat-ubatan, dan anggota kesihatan turut
dipertingkatkan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan
dengan sewajarnya.

KKM juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS)
serta agensi berkaitan di peringkat Persekutuan dan negeri bagi
memantau perkembangan situasi dan menyelaras tindakan untuk
mengurangkan kesan jerebu terhadap kesihatan awam.

Maklumat lanjut mengenai jerebu dan langkah-langkah pencegahan
boleh diperoleh melalui portal rasmi KKM dan portal Info Sihat KKM.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
12 OGOS 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *