KESIAPSIAGAAN KUAT, NEGARA SELAMAT: TINDAKAN PANTAS TANGANI BEG MENCURIGAKAN DI ICQS BUKIT KAYU HITAM

10 Ogos 2026

Kepekaan anggota di lapangan serta tindakan pantas dan teratur pihak berkuasa berjaya memastikan insiden penemuan sebuah beg pakaian beroda yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam pada 7 Ogos 2026 ditangani dengan selamat, profesional dan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan.

“Keselamatan pengembara, petugas dan pintu masuk negara sentiasa menjadi keutamaan KDN. Setiap potensi risiko akan ditangani dengan tahap kewaspadaan tertinggi tanpa berkompromi terhadap keselamatan awam.” — YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail, Menteri Dalam Negeri.

Beg berkenaan dikesan oleh anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pada kira-kira 5.35 petang di Blok B, laluan pengembara dari Malaysia ke Thailand. Susulan imbasan awal yang menunjukkan petunjuk mencurigakan, beg tersebut segera diasingkan dan kawasan berkenaan dikawal sebelum Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaklumkan untuk tindakan lanjut.

Unit Pemusnah Bom (UPB) PDRM kemudiannya melaksanakan langkah keselamatan termasuk mengosongkan kawasan Blok B dan menangani bagasi tersebut menggunakan peralatan robotik, sekali gus meminimumkan sebarang risiko kepada orang awam serta petugas.

Hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa beg berkenaan hanya mengandungi barangan klinikal kosmetik berasaskan alkohol. Kandungan tersebut dikenal pasti telah menghasilkan bacaan yang menyerupai petunjuk bahan letupan semasa pemeriksaan awal.

TIADA DADAH DAN TIADA BAHAN LETUPAN DITEMUI.

Keadaan keseluruhan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam adalah selamat, baik dan terkawal. Insiden ini membuktikan kepentingan kesiapsiagaan, kepekaan anggota serta koordinasi pantas antara agensi dalam memastikan keselamatan pintu masuk negara sentiasa terpelihara.

KDN menyeru orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan kejadian ini. Rujuk hanya kenyataan rasmi pihak berkuasa bagi mengelakkan kekeliruan dan kebimbangan awam.

KESELAMATAN SEMPADAN, TANGGUNGJAWAB BERSAMA.

Sumber: Maklumat rasmi kejadian di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam | 7 Ogos 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *