LIBAT URUS PLATFORM MEDIA SOSIAL DIPERKUKUH BAGI BENDUNG FENOMENA ‘COPYCAT’

PUTRAJAYA, 5 Ogos – Kerajaan akan mempergiat kerjasama dengan platform media sosial bagi membendung penyebaran kandungan sensitif yang berpotensi mencetuskan fenomena ‘copycat’, khususnya berkaitan isu bunuh diri, demi melindungi kesejahteraan masyarakat.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata perkara itu diberi perhatian dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan hasil perbincangan meja bulat yang dianjurkan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) bersama Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEM).

Menurut beliau, antara fokus utama ialah memastikan penyampaian maklumat berkaitan isu bunuh diri dilakukan secara bertanggungjawab, beretika dan tidak mendorong tingkah laku meniru dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata, NCEM di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan CMCF akan memperkukuh libat urus dengan penyedia platform media sosial bagi menangani penyebaran video atau kandungan yang boleh disalah tafsir serta mencetuskan kesan negatif.

Selain itu, kerjasama erat bersama platform digital dan agensi penguat kuasa akan terus dipertingkat bagi memastikan komunikasi awam berkaitan isu sensitif disampaikan secara tepat, berhemah dan bertanggungjawab.

Usaha bersepadu itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam mewujudkan ekosistem media digital yang lebih selamat, beretika dan menyokong kesejahteraan mental masyarakat.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *