𝗠𝗔𝗥𝗜𝗧𝗜𝗠 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗧𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗦𝗔𝗠𝗣𝗔𝗡 𝗞𝗔𝗬𝗨 𝗕𝗔𝗪𝗔 𝟯𝟮𝟱 𝗟𝗜𝗧𝗘𝗥 𝗣𝗘𝗧𝗥𝗢𝗟 𝗗𝗜 𝗣𝗘𝗥𝗔𝗜𝗥𝗔𝗡 𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗜𝗦

.
𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗣𝗘𝗥𝗟𝗜𝗦, 𝟱 𝗢𝗴𝗼𝘀 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis (IPMZ Kuala Perlis) menahan sebuah sampan kayu tanpa nombor pendaftaran bersama muatan 325 liter petrol dalam satu operasi penguatkuasaan di perairan Kuala Perlis, awal pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, kejayaan tersebut hasil maklumat risikan serta pemantauan berterusan Maritim Malaysia dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan penyelewengan barang kawalan menerusi Op Aman dan Op Tiris di perairan Perlis.

Beliau berkata, sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan telah mengesan sebuah sampan kayu dalam keadaan ditinggalkan dan mencurigakan pada kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari pesisir pantai Muara Kuala Perlis.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan kira-kira jam 5.15 pagi mendapati sampan kayu berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran serta membawa 13 tong minyak jenis Jerry Can yang mengandungi keseluruhan 325 liter petrol,” katanya.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki dan mengendalikan barang kawalan tanpa kebenaran yang sah.

Sampan kayu bersama muatan petrol yang dianggarkan bernilai hampir RM18,000 telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Komander Maritim Nak Rong berkata, kejayaan tersebut membuktikan komitmen berterusan Maritim Malaysia dalam memastikan bekalan terkawal tidak disalahgunakan atau diseleweng bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan, penyelewengan atau pengangkutan barang kawalan tanpa kebenaran. Rondaan, risikan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan, khususnya di kawasan perairan sempadan Perlis,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan, jenayah maritim atau insiden kecemasan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Perlis di talian 04-985 1072 atau 04-985 1162, atau talian kecemasan 999 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *