MALAYSIA DAN BRUNEI DARUSSALAM PERKUKUH KERJASAMA EKONOMI DAN KEWANGAN DEMI KEMAKMURAN SERANTAU

PUTRAJAYA, 31 Julai 2026 – Malaysia dan Brunei Darussalam terus memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang ekonomi dan kewangan menerusi mesyuarat dua hala antara Menteri Kewangan II Malaysia, YB Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kewangan II Brunei Darussalam, YB Dato’ Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah, yang berlangsung di Putrajaya.

Pertemuan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuhkan kerjasama strategik yang telah lama terjalin, di samping meneroka peluang baharu bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi, daya saing serantau serta kemakmuran bersama selaras dengan aspirasi ASEAN.

Dalam mesyuarat berkenaan, kedua-dua Menteri bertukar pandangan mengenai kepentingan memperkukuh kesalinghubungan ASEAN (ASEAN Connectivity) sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi serantau. Penekanan diberikan kepada usaha memperluas kerjasama rentas sempadan dalam sektor tenaga, termasuk pembangunan dan integrasi tenaga, di samping mempertingkatkan kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, yang semakin penting dalam menyokong agenda peralihan tenaga bersih serta pembangunan mampan.

Selain itu, kedua-dua pihak turut membincangkan usaha mempercepatkan pemodenan sistem kastam, memperkukuh kemudahan perdagangan dan pelaburan serta mempertingkat kecekapan pergerakan barangan dan perkhidmatan antara negara. Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kos urus niaga, memperkukuh rantaian bekalan serantau serta meningkatkan daya tarikan Malaysia dan Brunei sebagai destinasi perdagangan dan pelaburan yang berdaya saing.

Perbincangan turut menyentuh mengenai pengalaman kedua-dua negara dalam melaksanakan reformasi fiskal, termasuk pelaksanaan subsidi bersasar, pembangunan dasar berasaskan data serta pengukuhan disiplin fiskal. Pendekatan ini dilihat penting bagi memastikan pengurusan kewangan awam yang lebih cekap, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.

Malaysia dan Brunei Darussalam turut berkongsi pandangan mengenai kepentingan merangka dasar ekonomi yang lebih responsif melalui penggunaan data berkualiti tinggi bagi menyokong proses membuat keputusan, meningkatkan keberkesanan penyampaian bantuan kerajaan serta memastikan sumber negara dimanfaatkan secara optimum demi kesejahteraan rakyat.

Mesyuarat dua hala ini sekali lagi membuktikan hubungan erat yang telah sekian lama terjalin antara Malaysia dan Brunei Darussalam, berasaskan semangat saling percaya, kerjasama strategik dan kepentingan bersama. Kedua-dua negara terus komited untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang ekonomi dan kewangan bagi menyokong agenda pembangunan serantau serta merealisasikan aspirasi ASEAN yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, kerjasama erat antara Malaysia dan Brunei Darussalam dijangka terus memperkukuh kestabilan ekonomi serantau, merangsang pertumbuhan perdagangan dan pelaburan serta membuka lebih banyak peluang kemakmuran kepada rakyat kedua-dua negara.

Sumber: Facebook Kementerian Kewangan Malaysia

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *