MCMC DAN LLM PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK REALISASIKAN ASPIRASI “DI MANA ADA JALAN, DI SITU ADA INTERNET”

PUTRAJAYA, 30 Julai 2026 – Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda transformasi digital negara menerusi kerjasama strategik antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperluas pembangunan infrastruktur komunikasi di sepanjang rangkaian lebuh raya negara.

Majlis pertukaran MoU yang disaksikan oleh Menteri Komunikasi, YB Dato’ Seri Fahmi Fadzil dan Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh kerjasama rentas kementerian dan agensi bagi mempercepat pembangunan infrastruktur digital yang selari dengan pembangunan fizikal negara.

Kerjasama ini bakal meningkatkan liputan dan kualiti perkhidmatan telekomunikasi di sepanjang lebuh raya, termasuk mengatasi masalah kawasan liputan lemah (blind spot) dan panggilan terputus (dropped call) melalui pembangunan menara komunikasi serta rangkaian gentian optik menggunakan kawasan rizab lebuh raya atau Right of Way (ROW).

Sebagai langkah awal pelaksanaan, MCMC telah mengeluarkan pelawaan pada 15 Mei 2026 bagi pembinaan menara komunikasi di 10 lebuh raya seliaan LLM yang dikenal pasti mengalami isu liputan Internet, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), Terowong Menora dan Gua Tempurung di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Inisiatif ini bukan sahaja memastikan rakyat menikmati pengalaman perjalanan yang lebih selamat dan sentiasa berhubung melalui akses kepada komunikasi kecemasan, aplikasi navigasi serta maklumat trafik masa nyata, malah menjadi asas penting kepada pelaksanaan teknologi mobiliti masa hadapan seperti sistem kutipan tol Multi-Lane Fast Flow (MLFF), Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport Systems) dan aplikasi Internet Kebendaan (IoT).

Kerjasama strategik MCMC dan LLM ini mencerminkan pendekatan Whole-of-Government yang menjadi teras Kerajaan MADANI dalam memperkukuh ketersambungan digital, merangsang pertumbuhan ekonomi serta memastikan manfaat teknologi dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat di seluruh negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *