𝗠𝗔𝗥𝗜𝗧𝗜𝗠 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗟𝗔𝗞𝗦𝗔𝗡𝗔 𝗠𝗜𝗦𝗜 𝗢𝗖𝗘𝗔𝗡 𝗖𝗢𝗗𝗘, 𝗣𝗔𝗦𝗧𝗜𝗞𝗔𝗡 𝗕𝗘𝗞𝗔𝗟𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗥𝗔𝗛 𝗗𝗔𝗡 𝗨𝗕𝗔𝗧-𝗨𝗕𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗞𝗥𝗜𝗧𝗜𝗞𝗔𝗟 𝗧𝗜𝗕𝗔 𝗗𝗜 𝗟𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗪𝗜 𝗗𝗔𝗟𝗔𝗠 𝗧𝗘𝗠𝗣𝗢𝗛 𝗞𝗨𝗥𝗔𝗡𝗚 𝗦𝗘𝗝𝗔𝗠

.
𝗔𝗟𝗢𝗥 𝗦𝗘𝗧𝗔𝗥, 𝟮𝟴 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi Ibu Pejabat Maritim Zon Kuala Kedah (IPMZ Kuala Kedah) sekali lagi membuktikan komitmennya dalam melaksanakan misi kemanusiaan apabila berjaya menghantar bekalan darah dan ubat-ubatan kritikal ke Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi menerusi pengaktifan Ocean Code, hari ini.

Pengarah Maritim Zon Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, misi berkenaan melibatkan kerjasama strategik beberapa agensi bagi memastikan bekalan perubatan kritikal dapat dihantar kepada pesakit dalam tempoh yang pantas.

Beliau berkata, pengaktifan Ocean Code bermula pada jam 10.00 pagi, diikuti penyediaan bekalan darah oleh Pusat Darah Wilayah Utara (PDWU) serta pembungkusan ubat-ubatan oleh Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) antara jam 10.30 pagi hingga 11.30 pagi.

“Bekalan tersebut kemudiannya dibawa keluar dari Kuala Kedah pada jam 11.40 pagi menggunakan Bot Penggalang 35 milik Maritim Malaysia sebelum tiba di Jeti Tanjung Lembung pada jam 12.40 tengah hari.

Bekalan darah dan ubat-ubatan kritikal itu seterusnya dihantar ke Hospital Sultanah Maliha dan selamat tiba di lobi hospital pada jam 12.50 tengah hari bagi kegunaan rawatan pesakit yang memerlukan,” katanya.

Menurut beliau, kejayaan misi tersebut membuktikan kesiapsiagaan Maritim Malaysia bukan sahaja dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang maritim, malah sentiasa bersedia menggalas tanggungjawab kemanusiaan demi kepentingan rakyat.

“Kejayaan misi Ocean Code ini adalah hasil koordinasi yang mantap, tindakan pantas serta kerjasama erat antara semua agensi yang terlibat. Setiap minit amat bernilai apabila melibatkan keperluan perubatan kritikal dan Maritim Malaysia akan terus bersedia memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam misi-misi kemanusiaan bagi memastikan bantuan dapat disampaikan dengan segera kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan misi ini sekali lagi membuktikan bahawa sinergi antara agensi kerajaan mampu memastikan penghantaran bekalan perubatan kritikal dilaksanakan dengan pantas, selamat dan berkesan, sekali gus meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Maritim Malaysia akan terus komited memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi-agensi berkaitan dalam melaksanakan misi bantuan kemanusiaan serta kecemasan demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *