𝗠𝗔𝗥𝗜𝗧𝗜𝗠 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗬𝗦𝗜𝗔 𝗧𝗔𝗛𝗔𝗡 𝗩𝗘𝗦𝗘𝗟 𝗡𝗘𝗟𝗔𝗬𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗠𝗣𝗔𝗧𝗔𝗡 𝗗𝗜𝗦𝗬𝗔𝗞𝗜 𝗟𝗔𝗡𝗚𝗚𝗔𝗥 𝗦𝗬𝗔𝗥𝗔𝗧 𝗟𝗘𝗦𝗘𝗡 𝗣𝗘𝗥𝗜𝗞𝗔𝗡𝗔𝗡

.
𝗟𝗨𝗠𝗨𝗧, 𝟮𝟳 𝗝𝘂𝗹𝗮𝗶 – Ibu Pejabat Maritim Negeri (IPMN) Perak menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) Kelas C bersama lima nelayan warga Myanmar, termasuk seorang tekong, kerana disyaki melanggar syarat lesen perikanan serta melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, vesel berkenaan ditahan pada kedudukan kira-kira 9.12 batu nautika barat daya Pulau Samak, Perak sekitar jam 1.00 petang semalam ketika sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan.

Beliau berkata, penahanan dibuat oleh kapal ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan menerusi Op Sayong, Op Khas Tanjung 2 dan Op Tiris di perairan negeri Perak.

“Pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat kru warga Myanmar berusia antara 25 hingga 43 tahun.

“Hasil semakan lanjut mendapati vesel berkenaan disyaki melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti perikanan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai atau pulau. Selain itu, semua kru warga asing turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Kesemua nelayan terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala vesel, hasil tangkapan ikan serta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Maritim Malaysia untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan lanjut.

Beliau menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang serta syarat-syarat lesen perikanan, sekali gus menjamin kelestarian sumber perikanan dan keselamatan perairan negara.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *