
Bina kekuatan dalaman melalui kesatuan, semangat perpaduan semua kaum
26 Julai 2026
PMX mengakhiri kunjungan ke Pulau Pinang dengan merasmikan pembukaan semula Fort Cornwallis, yang memberi makna mendalam bukan sahaja kepada rakyat Pulau Pinang, tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
Beliau berkata, usaha memulihara warisan seperti Fort Cornwallis bukan sekadar mengindahkan sebuah kota, tetapi mengembalikan sejarah yang membentuk negara ini.
” Seperti diungkapkan Mark Twain, sebuah kota boleh maju dan moden, tetapi akan menjadi gersang jika kehilangan budaya. Kerana itu pembangunan harus berjalan seiring dengan usaha memelihara warisan serta memahami sejarah yang membentuk jati diri negara.
” Kita tidak memulihara Fort Cornwallis untuk mengagungkan penjajahan.
Sebaliknya, kita memeliharanya supaya generasi hari ini memahami bahawa suatu ketika dahulu, nasib negara pernah ditentukan oleh kuasa asing, bukan oleh rakyatnya sendiri. Sejarah yang pahit dan getir ini harus menjadi pengajaran agar kita tidak mengulanginya.
We must not erase history, nor deny historical facts. But our history must not be dictated by the narrative of our former colonial masters. It must be reclaimed and reconstructed by our own people, to give meaning to the sacrifices, suffering and devotion that shaped this nation, and to make it relevant to our society and our future.
Pengajaran sejarah itu cukup jelas. Tanpa perpaduan, pembangunan, keamanan dan kekuatan pertahanan, orang lain akan menentukan nasib kita.
Sebab itu kita harus membina kekuatan dalaman melalui kesatuan dan semangat perpaduan semua kaum, dengan meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan sempit perkauman dan pelampau agama.
Sejak awal pembentukan negara, para pemimpin terdahulu memahami hakikat bahawa Malaysia ialah sebuah negara yang rencam. Justeru Tunku Abdul Rahman memilih moto “Bersekutu Bertambah Mutu”, kerana hanya dengan bersatu kita mampu mengangkat mutu dan martabat negara serta menjamin keadilan untuk setiap rakyat.
Semoga Fort Cornwallis terus menjadi ruang untuk generasi muda memahami harga sebuah perpaduan, harga negara yang bebas dan merdeka, serta bencana apabila kita dijajah. Sejarah bukan sekadar tinggalan batu-bata atau rentetan peristiwa, tetapi coretan pengalaman yang harus mendidik kita tentang tanggungjawab mempertahankan keamanan, kemerdekaan dan masa depan negara.
