Menteri, Timbalan Menteri Serang Rakan Kerajaan Ketika PRN Diminta Berundur

IPOH, 19 Julai – Perdana Menteri, Datok Seri Anwar Ibrahim memberi amaran tegas kepada mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan supaya tidak menggunakan kedudukan mereka untuk menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).

PMX menegaskan, mana-mana individu yang ingkar terhadap arahan itu perlu berundur daripada jawatan yang disandang.

Menurut Anwar, anggota pentadbiran Persekutuan perlu menjaga disiplin dan membezakan tanggungjawab sebagai anggota kerajaan dengan persaingan politik di peringkat negeri.

“Kalau dia pegang jawatan daripada Persekutuan, dia tak boleh serang, menjadikan ini sebagai satu medan politik menyanggah kerana dia kena jaga disiplin.

“Kalau dia pilih untuk buat begitu, dia harus undur daripada jawatan dia. Kita kena jaga supaya jangan langgar kerana kalau ada pelanggaran, saya akan minta mereka undur,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program MADANI Kita di Dewan Komuniti Taman Perpaduan, Ipoh, hari ini.

Anwar berkata, pendirian itu diputuskan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof semalam.

Katanya, semua calon yang memegang jawatan dalam kerajaan diingatkan agar menumpukan kempen kepada isu berkaitan negeri tanpa menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

“Setakat ini, kita minta mereka kawal supaya hubungan kita di Persekutuan kekal baik, supaya kerja boleh dijalankan.

“Biarlah kita kawal kalau ada pertarungan di peringkat negeri,” katanya.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *