
17 Julai 2026
PUTRAJAYA, 17 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar kegiatan penyelewengan minyak masak peket bersubsidi menerusi OPS TIRIS 4.0 (Bersepadu) selepas menyerbu dua stor di Bandar Pinggiran Subang dan Jalan Bakti, Shah Alam, Selangor.
Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan dijadikan lokasi penyimpanan minyak masak peket bersubsidi yang dipercayai dipotong daripada bungkusan asal sebelum dijual kepada pemborong minyak masak terpakai bagi mengaut keuntungan secara tidak sah.
Dalam operasi itu, KPDN menyita kira-kira 6,426 kilogram minyak masak peket bersubsidi, 13 tangki IBC, empat tangki simpanan, enam tong dram, tiga pam elektrik, sebuah lori rigid, peralatan memotong bungkusan minyak masak serta pelbagai peralatan lain dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM129,874.50.
Enam individu berusia lingkungan 30-an turut ditahan bagi membantu siasatan, melibatkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing. Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] kerana disyaki menjalankan urus niaga barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah.
Sejak OPS TIRIS 4.0 dilancarkan pada 16 Mac 2026, KPDN telah merekodkan 137 kes penyelewengan minyak masak dengan jumlah rampasan 165,568 kilogram bernilai RM615,936.02. Sabah mencatatkan bilangan kes tertinggi, manakala Putrajaya merekodkan kuantiti rampasan terbesar.
KPDN turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi melalui saluran aduan rasmi kementerian bagi membantu membanteras kegiatan tersebut.
Sumber: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Sorotan Berita: Jendela Madani
