KERAJAAN RANCANG LANCAR PROGRAM LARGE SCALE SOLARPUSINGAN KEENAM (LSS6) PERKUKUH PERALIHAN TENAGA

PUTRAJAYA, 16 Julai 2026 – Selaras dengan komitmen Kerajaan untuk
mempercepatkan peralihan tenaga negara serta meningkatkan kapasiti
penjanaan Tenaga Boleh Baharu (TBB) secara berterusan, Kerajaan
akan melaksanakan Program Solar Berskala Besar Pusingan Keenam
(Large Scale Solar – LSS6) dengan jumlah penawaran kuota sebanyak
2,500 megawatt (MW) solar bersekali dengan sistem penyimpanan
tenaga (Battery Energy Storage System – BESS) iaitu 1,250 MW dan 150
MW solar khusus bagi syarikat Bumiputera di Semenanjung Malaysia.

Pelaksanaan LSS6 merupakan kesinambungan kepada kejayaan
program LSS terdahulu yang telah memperkukuh pembangunan industri
solar tempatan serta menurunkan kos penjanaan elektrik melalui
mekanisme bidaan yang telus dan berasaskan pasaran.

Bagi
membolehkan penyertaan syarikat di bawah program ini menjadi lebih
meluas, LSS6 akan dilaksanakan melalui tiga (3) pakej seperti berikut:

i. Pakej 1: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka kepada semua
pemaju dengan kapasiti 2,200MW solar dan 1,100MW BESS;

ii. Pakej 2: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka Bumiputera
dengan kapasiti 300MW solar dan 150 MW BESS; dan

iii. Pakej 3: Pelaksanaan Solar Bumiputera tanpa BESS dengan
kapasiti sebanyak 150MW solar.

Bagi memastikan penawaran kapasiti dilaksanakan secara adil, telus dan
berdaya saing, Kerajaan memperkenalkan beberapa penambahbaikan
dasar bagi pelaksanaan LSS6 seperti berikut:

i. tawaran kapasiti bagi setiap pembida ditetapkan antara 60 MW
hingga 500 MW bagi pakej 1 dan pakej 2;

ii. tawaran kapasiti bagi setiap pembida ditetapkan antara 10 MW
hingga 30 MW bagi pakej 3;

iii. pembangunan loji solar berskala besar secara hibrid bersama BESS
bagi meningkatkan kestabilan, fleksibiliti serta kebolehpercayaan
sistem bekalan elektrik negara;

iv. pembida hendaklah mempunyai pengalaman dalam pembangunan
projek solar, manakala pengalaman dalam projek BESS tidak
diwajibkan;

v. pembida yang menggunakan produk TBB seperti modul solar
fotovolta (PV) yang dihasilkan secara domestik akan diberikan
keutamaan; dan

vi. tumpuan pembangunan projek akan diberikan di kawasan strategik
yang mempunyai pertumbuhan permintaan elektrik yang tinggi,
khususnya di wilayah Selatan Semenanjung, bagi mengoptimumkan
perancangan penjanaan dan sistem penghantaran elektrik negara.

Program LSS6 dijadualkan untuk mula beroperasi secara berperingkat
dengan sasaran tarikh operasi komersial selewat-lewatnya pada 31
Disember 2029.

Pelaksanaan LSS6 dijangka menarik pelaburan swasta sekitar RM13
bilion hingga RM15 bilion, serta mewujudkan sehingga 15,000 hingga
20,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembangunan dan
pembinaan projek.

Di samping itu, program ini diunjurkan dapat
mengurangkan pelepasan karbon dioksida (COâ‚‚) sekitar 2.6 juta tan
setahun, sekali gus menyokong komitmen negara ke arah peralihan
tenaga rendah karbon dan pencapaian sasaran pembangunan mampan
negara.

Selain itu, program khas bagi pemaju solar Bumiputera akan turut
dilaksanakan secara berasingan di bawah Pakej 3 dengan kapasiti
sebanyak 150MW. Program ini tidak melibatkan pemasangan BESS dan
akan tertumpu kepada kapasiti berskala kecil diantara 10MW hingga
30MW.

Program ini diwujudkan bertujuan menggalakkan penyertaan syarikat-
syarikat kecil Bumiputera yang berminat untuk menceburi dan
berkecimpung dengan industri tenaga khususnya tenaga boleh baharu.

Pelaksanaan program ini dijangka akan dapat memberikan peluang
pelaburan kepada syarikat Bumiputera dengan jumlah hampir RM500
juta.

Dokumen Request for Proposal (RFP) bagi Program Pelaksanaan Solar
Bumiputera dan LSS 6 akan dilaksanakan seperti berikut:

Pakej 1 RFP: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka dengan
kapasiti 2,200MW solar dan 1,100MW BESS bermula 27 Julai
hingga 7 Ogos 2026;

Pakej 2 RFP: Pelaksanaan LSS + BESS tender terbuka Bumiputera
dengan kapasiti 300MW solar dan 150 MW BESS bermula 27 Julai
hingga 7 Ogos 2026; dan

Pakej 3 RFP: Pelaksanaan Solar Bumiputera tanpa BESS dengan
kapasiti sebanyak 150MW solar sahaja bermula pada 17 – 28 Ogos
2026.

Dokumen-dokumen RFP boleh dibeli di alamat berikut:

Ibu Pejabat Suruhanjaya Tenaga
No 12, Jalan Tun Hussein,
Presint 2, 62100 Putrajaya
Selaras dengan memperkukuh teras Kemampanan dari sudut sektor
tenaga menerusi konsep Malaysia MADANI, Kementerian Peralihan
Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited dalam memastikan
pelaksanaan LSS6 dilaksanakan secara telus, berdaya saing dan
memberi manfaat menyeluruh kepada negara terutamanya melalui
pembangunan tenaga bersih.

KEMENTERIAN PERALIHAN TENAGA DAN TRANSFORMASI AIR
16 Julai 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *