


14 Julai 2026
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat mengiringi isteri Presiden Singapura, Puan Jane Ittogi Shanmugaratnam, dalam lawatan ke Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi, hari ini (14 Julai).
Lawatan tersebut diadakan sempena Lawatan Negara Presiden Republik Singapura, TYT Tharman Shanmugaratnam ke Malaysia yang bermula semalam.
Ketibaan Puan Jane Ittogi di pusat berkenaan disambut oleh Raja Permaisuri Agong serta YAM Tunku Tun Aminah binti Sultan Ibrahim.
Turut hadir menyambut delegasi tersebut ialah isteri Perdana Menteri, YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri; serta Timbalan Menteri, YB Puan Lim Hui Ying.
Hadir sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, serta Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, Datuk Che Murad Sayang Ramjan.
Raja Permaisuri Agong bersama Puan Jane Ittogi kemudiannya meninjau beberapa kemudahan utama termasuk Bilik Activities of Daily Living (ADL), Bilik Terapi CaraKerja (Occupational Therapy) dan gimnasium bagi melihat sendiri pendekatan holistik serta latihan kemahiran harian yang dilaksanakan.
Dalam persembahan ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Dato’ Sri Hajah Nancy, dimaklumkan bahawa sehingga Jun 2026, seramai 93,199 individu autisme telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Angka tersebut dijangka terus meningkat selaras dengan peningkatan kesedaran masyarakat serta akses kepada perkhidmatan saringan dan diagnostik.
PPA Bangi diuruskan menerusi kerjasama strategik antara sektor awam dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu National Autism Society of Malaysia (NASOM) dan PDK Damansara Damia.
Lawatan yang berakhir sekitar jam 11.30 pagi ini bukan sahaja memperkukuh hubungan persahabatan antara Malaysia dan Republik Singapura, malah membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik dalam pembangunan perkhidmatan sosial.
