


KEPUTUSAN MESYUARAT JEMAAH MENTERI
UNTUK SIARAN SEGERA
8 JULAI 2026
PUTRAJAYA – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah membincangkan beberapa
perkara dan membuat keputusan seperti berikut:
- Pelepasan Cukai Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman
(TAR UMT)
Jemaah Menteri telah meneliti isu pelepasan cukai TAR UMT serta menghargai
peranan khas universiti tersebut dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta
yang berkualiti dan berpatutan.
Sehubungan itu, YAB Perdana Menteri telah meluluskan pelanjutan tempoh
kelulusan pelepasan cukai TAR UMT untuk tempoh 10 tahun.
Walau bagaimanapun, TAR UMT kekal tertakluk kepada semakan pematuhan
sepanjang tempoh kelulusan berkuat kuasa, termasuk syarat seperti
mengemukakan penyata kewangan yang diaudit setiap tahun, selaras dengan
keperluan subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967).
- Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam)
YAB Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima
berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja
bagi LINDUNG 24 Jam di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman tersebut tidak
lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa
serta-merta.
Kenyataan lanjut berhubung keputusan ini akan diterbitkan oleh Kementerian
Sumber Manusia (KESUMA).
- Perolehan Pertahanan dari Norway
Jemaah Menteri juga telah meneliti isu terkini tindakan Kerajaan Norway
membatalkan lesen eksport peluru berpandu yang sepatutnya dilengkapkan pada
kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Kementerian Pertahanan
menghentikan serta-merta sebarang perolehan peralatan atau kelengkapan
pertahanan baharu dari Norway.
- Had Umur Persaraan Kekal 60 Tahun
Kerajaan telah memutuskan bahawa tiada keperluan untuk melaksanakan
peningkatan had umur persaraan buat masa ini.
Oleh yang demikian, had umur
persaraan bagi penjawat awam kekal pada umur 60 tahun.
-FAHMI FADZIL
JURUCAKAP KERAJAAN
