


7 Julai 2026
Sempena sedekad penubuhannya, Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) memulakan siri jelajah pengagihan bantuan dengan sasaran menyalurkan 2,000 bakul makanan kepada komuniti penduduk di beberapa buah daerah.
Inisiatif khas sempena sambutan ulang tahun ke-10 YSIJ ini merupakan manifestasi berterusan keprihatinan institusi diraja Johor dalam membantu kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.
Sesi pertama pengagihan sebanyak 1,000 bakul makanan telah dilaksanakan semalam (6 Julai) dan hari ini (7 Julai) melibatkan penerima di sekitar daerah Batu Pahat,Kluang, Johor Bahru dan Kulai.
Sumbangan disampaikan oleh Shah Reza Md Kanafe, Pengurus Kanan YSIJ kepada Penghulu-penghulu Mukim dan Wakil Masyarakat.
Mohd Anizam Jamian, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ berkata, program agihan bersiri ini dirancang secara teliti bagi memastikan setiap sumbangan sampai terus ke tangan golongan sasar yang telah dikenal pasti di setiap komuniti terlibat.
“Pelaksanaan agihan bakul makanan ini boleh disifatkan sebagai simbolik kepada misi utama YSIJ sepanjang 10 tahun penubuhan kami. “
“Sejak awal lagi, fokus utama kami adalah untuk meringankan beban Bangsa Johor, dan pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memastikan tiada golongan memerlukan yang terpinggir.” kata beliau kepada Royal Press Office (RPO).
Setiap bakul makanan yang disumbangkan mengandungi keperluan asas harian seperti beras, minyak masak, gula, dan barangan kering lain, yang diharap dapat meringankan beban kos sara hidup para penerima.
Sejak ditubuhkan pada 14 Julai 2016, YSIJ kekal menjadi tonggak utama dalam menggerakkan pelbagai misi bantuan kepada sektor kesihatan, pendidikan, dan bantuan ihsan kepada rakyat di seluruh Johor.
Siri pengagihan seterusnya akan menyusul ke daerah-daerah lain dalam masa terdekat mengikut jadual yang telah ditetapkan. Turut serta, Muhammad Najhan Abd Rahim, Setiausaha Sulit (Tugas-tugas Khas) Menteri Besar Johor.
