




KUALA LUMPUR, 3 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka sebagai langkah memperbaharui armada teksi dan memperkukuh industri pengangkutan awam negara.
Program yang diterajui oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) itu merupakan susulan Belanjawan 2026 yang memperkenalkan pengecualian 100 peratus duti eksais dan cukai jualan bagi pembelian teksi serta kereta sewa baharu buatan nasional oleh pemilik yang layak. Inisiatif berkenaan bertujuan mengurangkan kos pemilikan kenderaan baharu dan mempercepat proses pembaharuan armada teksi di seluruh negara.
Melalui program ini, pemandu teksi berpeluang menggunakan kenderaan yang lebih moden, selamat, selesa dan berkualiti, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan, kecekapan operasi serta imej perkhidmatan teksi sebagai komponen penting dalam ekosistem pengangkutan awam negara.
Pelaksanaan program dibuat menerusi kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta termasuk PROTON, Kumpulan DRB-HICOM melalui EON-Avis dan EON-Tras, serta institusi kewangan yang menyediakan pelbagai pilihan pembiayaan fleksibel bagi memudahkan pemandu beralih kepada kenderaan baharu.
Kementerian Pengangkutan turut menyeru kerjasama semua pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, persatuan teksi, institusi kewangan, pengeluar automotif dan penyedia perkhidmatan mobiliti bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar dan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh komuniti teksi.
Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional disifatkan sebagai langkah strategik untuk mentransformasikan industri teksi agar lebih moden, berdaya saing dan relevan dengan keperluan mobiliti semasa, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh sistem pengangkutan awam dan meningkatkan kesejahteraan pemandu serta pengguna.
Sorotan Berita: Jendela Madani
