
KUALA LUMPUR, 30 Jun 2026 – Kerajaan hari ini melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) Struktur Baharu yang menawarkan pilihan tempoh sah laku sehingga 10 tahun, berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026, sebagai langkah memperkukuh keselamatan dokumen perjalanan negara serta meningkatkan kemudahan kepada rakyat.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Ruang Legar Dewan Rakyat, Parlimen. Inisiatif baharu itu membolehkan rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas memilih pasport dengan tempoh sah laku sama ada lima (5) tahun atau sepuluh (10) tahun, mengikut keperluan masing-masing.
Bagi pasport 10 tahun, kadar bayaran ditetapkan sebanyak RM350, manakala pasport lima tahun kekal pada RM200. Kerajaan memaklumkan bahawa pilihan tempoh 10 tahun ini memberi penjimatan sebanyak RM50 berbanding pembaharuan pasport lima tahun yang perlu dilakukan dua kali dalam tempoh yang sama.
Pasport baharu itu turut diperkasakan dengan 94 ciri keselamatan, berbanding 49 ciri pada pasport sedia ada. Antara teknologi yang digunakan ialah guilloche, latent image, rainbow printing, line width modulation, hologram serta cetakan ultraviolet (UV) bagi meningkatkan perlindungan daripada pemalsuan, pengubahsuaian dan penyalahgunaan dokumen perjalanan.
Selain aspek keselamatan, reka bentuk baharu turut menampilkan identiti nasional menerusi elemen sejarah, warisan budaya dan sistem Raja Berperlembagaan. Ikon utama pasport kini menggunakan rama-rama Rajah Brooke’s Birdwing, menggantikan Bunga Raya, sebagai simbol baharu yang mencerminkan kekayaan biodiversiti negara.
Pelaksanaan PMA Struktur Baharu akan dilaksanakan secara berperingkat di 71 pejabat pasport di seluruh negara bermula Julai 2026. Mesin pencetak generasi baharu yang digunakan mampu mencetak sehingga 60 pasport sejam bagi memenuhi permintaan semasa yang mencecah purata 160,000 pasport sebulan.
Orang ramai bagaimanapun dinasihatkan tidak perlu tergesa-gesa menukar pasport sedia ada sekiranya masih dalam tempoh sah laku kerana dokumen tersebut kekal sah digunakan sehingga enam bulan sebelum tarikh tamat tempohnya.
Kementerian Dalam Negeri menegaskan bahawa pengenalan Pasport Malaysia Antarabangsa Struktur Baharu ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan dokumen perjalanan negara terus kekal selamat, moden, dipercayai dan memenuhi piawaian antarabangsa, sekali gus mengekalkan kedudukan pasport Malaysia sebagai antara pasport paling berkuasa di dunia.
Sorotan Berita : Jendela Madani
