
Oleh Noraini Nordin
(Sorotan PRN Johor)
23 Jun 2026
Perdana Menteri menegaskan, kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan negeri Johor.
Bahkan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, peruntukan pembangunan untuk negeri Johor sentiasa meningkat saban tahun.
βJohor menyumbang sekitar RM14 bilion kepada Persekutuan, namun kita kembalikan lebih RM16 bilion untuk pembangunan, infrastruktur dan kebajikan rakyat Johor.
βIni menjadikan peruntukan keseluruhan untuk Johor adalah yang ketiga terbesar berbanding negeri-negeri lain,β ujarnya ketika berucap di majlis pengumuman calon PH di Bukit Gambir malam semalam.
Pada majlis tersebut, Anwar yang juga Pengerusi PH mengumumkan keseluruhan 56 orang calon yang bakal mewakili gabungan itu pada pilihan raya negeri Johor yang akan datang.
Menurut beliau, mereka yang dipilih akan mewakili masyarakat pelbagai kaum dengan isu-isu setempat yang dekat dengan sanubari masyarakat.
βAlhamdulillah, dengan βtrack recordβ yang terbaik di peringkat Persekutuan, kita meyakini bahawa kita memasuki pilihan raya ini dengan hasrat dan matlamat yang jitu untuk perubahan.
βKomitmen ini terlihat melalui pelbagai inisiatif dan peruntukan yang telah disalurkan kepada negeri Johor sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Madani,β tegasnya lagi.
Dalam pada itu, Anwar juga menegaskan agar demokrasi terus marak dan pertandingan yang berlaku kekal melibatkan antara antara parti politik semata-mata tanpa melibatkan mana-mana institusi, termasuk institusi diraja.
βJika mahu bertarung, masuk gelanggang dan bertarung secara bermaruah.
βLawan dengan fakta dan rekod, bukan menunggang institusi diraja dan menghasut sentimen kaum atau agama semata-mata untuk meraih sokongan politik,β katanya.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, rakyat Johor berhak mendengar tawaran terbaik daripada parti-parti yang bertanding untuk masa depan mereka, bukan disogok kebencian dan perpecahan.
βPesanan kepada semua calon, persaingan dalam pilihan raya ini bukan soal merebut kuasa atau jawatan.
βIni adalah amanah besar untuk bekerja keras menyelesaikan masalah rakyat serta menggalas harapan membawa Johor melangkah lebih jauh ke hadapan,β tegasnya.
