
Oleh: Noraini Nordin
(Sorotan Khas PRN Johor)
21 Jun 2026
Debaran menanti siapakah calon-calon yang akan mewakil Pakatan Harapan (PH) di PRN Johor bakal terjawab malam esok.
PH akan mengumumkan senarai calon bagi PRN Johor pada 22 Jun ini Bukit Gambir, Muar.
Program yang bermula jam 8.00 malam itu akan dihadiri Pengerusi PH merangkap Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Presiden Amanah dan semua pimpinan utama ketiga-tiga parti.
DIJANGKA LEBIH 5,000 AKAN HADIR
Dijangka lebih 5,000 akan hadir dalam program itu dan ini sekaligus menandakan iltizam PH untuk membuat kejutan dalam PRN Johor pada 11 Julai depan.
Dalam konteks KEADILAN yang dijangka akan bertanding 20 kerusi pada PRN Johor, pemilihan calon sudah pun berjaya diselesaikan tanpa masalah besar.
Sementara itu, dalam interviu khas penulis dengan Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar baru-baru ini, beliau berkata, semua nama yang akan dicalonkan telah melalui proses temu duga yang ditetapkan, selain semakan latar belakang, tapisan rekod jenayah serta saringan integriti termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Menurutnya, proses tersebut penting bagi memastikan calon yang diketengahkan bukan sahaja mempunyai keupayaan politik dan penerimaan rakyat setempat, tetapi juga rekod yang bersih serta kesediaan memikul amanah rakyat.
“Keputusan calon tidak dibuat secara bersendirian. Ia telah melalui proses kolektif oleh Jawatankuasa Penilaian Calon.
“Semua calon telah ditemu duga dan kita juga mengusahakan proses tapisan termasuk semakan rekod jenayah serta saringan SPRM,” jelasnya.
PROSES PEMILIHAN CALON DARI MANA-MANA PARTI TIDAK MUDAH
Nurul Izzah mengakui, proses pemilihan calon dalam mana-mana parti tidak pernah mudah kerana melibatkan banyak pandangan, harapan akar umbi dan pertimbangan setempat.
Yang penting, tambah beliau, proses penentuan calon telah dimuktamadkan secara kolektif oleh Jawatankuasa Penilaian Calon selepas melalui proses temu duga, penelitian dan tapisan yang menyeluruh.
Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan parti tidak boleh terhenti hanya kerana seseorang individu atau kumpulan tidak dinamakan sebagai calon.
“Selepas keputusan dibuat, tanggungjawab kita ialah rapatkan saf. Jangan kerana seorang tidak terpilih, seluruh gerak kerja parti diperlahankan.
“Jangan kerana kecewa, kita tarik diri daripada membantu sehingga akhirnya merugikan perjuangan yang lebih besar,” tegasnya memberi ingatan.
Nurul Izzah berkata lagi, semua pihak perlu melihat proses memilih calon sebagai keputusan organisasi, bukan keputusan peribadi mana-mana pihak.
Beliau turut menyeru pimpinan cabang, jentera akar umbi dan anggota parti supaya terus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan parti bergerak sebagai satu pasukan.
“Calon hanya satu komponen. Kekuatan sebenar KEADILAN ialah jentera, akar umbi dan disiplin organisasi. Kalau kita benar-benar percaya kepada perjuangan reformasi, kita tidak boleh menjadikan kekecewaan peribadi sebagai alasan untuk melemahkan parti,” katanya.
Menurutnya, KEADILAN menghargai semua pimpinan dan anggota yang telah bekerja di lapangan.
Beliau berkata, ruang untuk berkhidmat kepada parti dan rakyat tidak terhad kepada jawatan calon semata-mata, sebaliknya boleh diteruskan melalui kerja organisasi, kempen, penyusunan jentera dan khidmat masyarakat.
“Tidak terpilih sebagai calon bukan bermaksud tidak dihargai. Ramai yang telah menyumbang dan akan terus ada peranan penting dalam parti. Tetapi dalam fasa pilihan raya, disiplin paling utama ialah menerima keputusan, bekerja bersama dan memastikan kemenangan parti,” katanya.
Nurul Izzah turut menegaskan bahawa parti kini perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada isu rakyat, tawaran dasar dan usaha meyakinkan pengundi.
“Rakyat sedang menilai kita. Sebab itu saya menyeru semua pihak, yang terpilih, yang tidak terpilih, yang menyokong calon tertentu atau yang membawa pandangan berbeza — mari kita kembali kepada tujuan asal. Fokus kita ialah rakyat, kemenangan dan perjuangan KEADILAN,” katanya.
Beliau berkata, selepas keputusan dimuktamadkan, keutamaan parti ialah memperkukuh gerak kerja lapangan, merapatkan saf kepimpinan dan akar umbi serta menggembleng seluruh kekuatan parti ke arah kemenangan.
