
Malaysia menyambut baik pengumuman Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dan
Republik Islam Iran yang menandakan satu langkah penting ke arah pengurangan ketegangan di Asia
Barat serta mewujudkan asas bagi mencapai penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan.
Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Republik Islam Pakistan, Negara Qatar, Republik
Arab Mesir, Arab Saudi, Republik Türkiye serta negara-negara serantau atas peranan masing-masing
dalam menyokong usaha diplomatik serta dialog antara pihak-pihak berkenaan.
Malaysia turut mengiktiraf
komitmen serta penglibatan konstruktif semua pihak dalam memajukan usaha mengurangkan ketegangan
serta mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
Malaysia mengharapkan agar pemeteraian MoU di Switzerland yang dijadualkan pada 19 Jun 2026 akan
membuka ruang kepada rundingan susulan ke arah pemeteraian satu perjanjian keamanan yang kekal
dan menyeluruh.
Malaysia turut berharap langkah-langkah pelaksanaan awal, termasuk aturan
keselamatan maritim, pelaksanaan pelepasan sekatan secara berfasa serta langkah-langkah yang
dipersetujui oleh pihak-pihak terlibat, dapat menyumbang ke arah penghentian permusuhan secara
berkekalan, peningkatan kestabilan serantau, perlindungan kebebasan navigasi di Selat Hormuz, serta
pengukuhan ekonomi global dan keselamatan tenaga.
Malaysia kekal dengan pendirian bahawa keamanan yang berkekalan hanya dapat dicapai menerusi
dialog, diplomasi dan penghormatan bersama. Malaysia sentiasa bersedia untuk menyokong segala
inisiatif konstruktif yang menyumbang kepada pemeliharaan keamanan dan keselamatan antarabangsa,
serta pengukuhan keadilan dan kemakmuran sejagat.
PUTRAJAYA
15 June 2026
