KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
PENJELASAN BERHUBUNG PENGIKTIRAFAN PROGRAM FARMASI
UNIVERSITI ALEXANDRIA, MESIR

11 Jun 2026
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum kebimbangan yang
dibangkitkan berhubung status pengiktirafan program farmasi yang ditawarkan oleh
Universiti Alexandria, Mesir.
Sejak isu ini dikenal pasti, KKM telah melaksanakan
pelbagai usaha termasuk libat urus dengan pihak berkepentingan dan pihak
universiti bagi membolehkan proses penilaian program dilaksanakan.
Universiti Alexandria sebelum ini menawarkan program Bachelor of Pharmaceutical
Science dan Bachelor of Pharmacy (Clinical Pharmacy) yang telah diiktiraf oleh
Lembaga Farmasi Malaysia (LFM).
Walau bagaimanapun, pada tahun 2019
universiti tersebut telah menggantikan program berkenaan dengan Bachelor of
Pharmacy – PharmD dan Bachelor of Pharmacy – PharmD (Clinical Pharmacy),
yang mempunyai struktur kurikulum berbeza dan belum melalui proses penilaian
serta pengiktirafan oleh LFM selaku badan kawalselia yang bertanggungjawab ke
atas pendaftaran dan amalan profession farmasi berdasarkan Akta Pendaftaran Ahli
Farmasi 1951 [Akta 371].
Bagi memastikan kepentingan pelajar yang terjejas diberi perhatian sewajarnya
tanpa menjejaskan standard profesional dan kompetensi yang ditetapkan untuk
berdaftar serta mengamalkan farmasi di Malaysia, KKM akan membuat
pertimbangan ke atas kelayakan individu pelajar yang terjejas berdasarkan
peruntukan di bawah Akta 371.
Pelajar yang terlibat akan dihubungi segera untuk
mengemukakan permohonan.
Penilaian awal kelayakan individu pelajar melalui
semakan transkrip akademik dan dokumen sokongan yang dikemukakan akan
dijalankan untuk pertimbangan lanjut Lembaga Farmasi Malaysia.
Walau bagaimanapun, usaha ini tidak mengetepikan keperluan untuk mengiktiraf
program farmasi baharu mengikut tatakelola yang telah ditetapkan bagi memastikan
hanya program farmasi yang menepati standard diberi pengiktirafan.
Kementerian
Pendidikan Tinggi (KPT), melalui Education Malaysia Mesir (EMM) dan Agensi
Kelayakan Malaysia (MQA), akan terus membantu dan memudah cara proses
permohonan pengiktirafan program farmasi Universiti Alexandria.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
11 JUN 2026
