UniMAP FutureX Perkasa Generasi Pemimpin Masa Hadapan

Wartawan JM
10 JUN 2026
 
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju pembangunan bakat masa hadapan menerusi penganjuran UniMAP FutureX: Future Young Leaders, sebuah inisiatif strategik yang menghimpunkan pelajar sekolah, mahasiswa, pelajar pascasiswazah, graduan, industri dan komuniti dalam satu ekosistem pembelajaran, inovasi dan pembangunan kepimpinan.
 
Inisiatif tersebut diterjemahkan menerusi pelbagai program berimpak tinggi di bawah platform iFuture @ UniMAP 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula 9 hingga 12 Jun di Dewan Ilmu, Kampus Pauh Putra.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah berkata iFuture @ UniMAP 2026 turut mengetengahkan pelbagai komponen pembangunan bakat yang memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta, antaranya  Karnival Kerjaya NICE 2026, Festival TVET dan Karnival AI, Postgraduate Colloquium & Research Exhibition dan program Inspirasi Varsiti yang membuka ruang kepada pelajar sekolah mengenali dunia pendidikan tinggi dan kerjaya masa hadapan.

TERBAIK UNTUK PELAJAR
 
“NICE 2026 yang berlangsung sehingga 10 Jun 2026 (Rabu) merupakan platform terbaik untuk pelajar dan orang ramai mendapatkan peluang pekerjaan, latihan industri, jaringan profesional dan pendedahan secara langsung dengan pihak industri.
 
“Selain pameran reruai industri, pelbagai pengisian menarik turut disediakan seperti Forum dan Taklimat Kerjaya; Forum Keusahawanan dan Kelestarian (kerjasama SWCorp Malaysia & KWSP); Sesi Walk-In Interview bersama majikan; Jualan dan pameran usahawan siswa; Jualan Agro Madani; dan Program kutipan minyak masak terpakai (insentif tambahan RM1 bagi setiap kilogram yang dihantar),” katanya ketika dihubungi.
 
Ujar beliau lagi, lebih 48 syarikat terkemuka dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam NICE 2026 dengan menawarkan lebih 1,000 peluang pekerjaan merangkumi bidang kejuruteraan, teknologi, perkilangan pintar, tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan automasi.

SEKADAR KARNIVAL KERJAYA
 
“NICE 2026 bukan sekadar karnival kerjaya, tetapi platform yang menghubungkan bakat muda dengan peluang masa depan dan ini adalah manifestasi komitmen universiti dalam memperkukuh kebolehpasaran graduan, memacu inovasi dan mengeratkan hubungan strategik antara institusi pendidikan tinggi serta industri.
 
“Selain itu, ia adalah bukti iltizam UniMAP dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja bersedia memasuki pasaran kerja, malah mampu menjadi pemimpin kepada pekerjaan dan pencipta nilai kepada negara,” katanya.
 
Beliau berkata, keyakinan industri terhadap graduan UniMAP terus meningkat apabila universiti itu merekodkan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.4 peratus dan kadar bekerja graduan 99.3 peratus berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2025 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

GRADUAN BERPENDAPATAN PREMIUM
 
Katanya, pencapaian tersebut selari dengan aspirasi Pelan Strategik UniMAP 2026-2030 yang menyasarkan peningkatan graduan berpendapatan premium dan penempatan graduan dalam syarikat multinasional menjelang tahun 2030.
 
Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP Dato’ Prof. Ts. Dr. Zaliman berkata, era Revolusi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan (AI) menuntut generasi muda untuk memiliki kemahiran digital, daya tahan, pemikiran inovatif dan kesedaran global yang tinggi.
 
“Melalui UniMAP FutureX, kita mahu membentuk generasi pemimpin masa hadapan yang berdaya saing, kreatif dan bersedia menghadapi cabaran dunia yang sentiasa berubah.

MENEROKA POTENSI DIRI
 
Platform ini menjadi ruang terbaik untuk mereka meneroka potensi diri, membina jaringan profesional dan memperkasakan budaya penyelidikan serta inovasi,” katanya.
 
Selain NICE 2026, iFuture @ UniMAP 2026 turut menampilkan Presidential Talk, Postgraduate Open Day serta International Food & Cultural Festival yang meraikan kepelbagaian budaya dan memperkukuh jaringan antarabangsa.
 
Penganjuran program itu dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan negara, sejajar dengan agenda Malaysia MADANI, New Industrial Master Plan (NIMP 2030) dan National Energy Transition Roadmap (NETR), sekali gus memperkukuh peranan UniMAP sebagai institusi yang melahirkan bakat masa hadapan berteraskan teknologi, inovasi dan kepimpinan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *