Lawatan Rasmi PMX Perkukuh Hubungan Malaysia-Jepun

TOKYO, 9 Jun – Lawatan rasmi ke Jepun diharap dapat membawa manfaat serta kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lawatan tersebut merupakan antara usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia-Jepun.

“Alhamdulillah, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo bagi memulakan misi diplomasi MADANI dalam rangka lawatan rasmi ke Jepun sehingga Rabu ini.

“Dalam lawatan ini, saya akan mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, bagi membincangkan usaha memperluas kerjasama strategik serta meneroka peluang baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara, khususnya dalam aspek keterjaminan dan keselamatan tenaga,” katanya menerusi kenyataan.

Datuk Seri Anwar berkata beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin industri utama Jepun bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Malaysia.

Terdahulu RTM melaporkan, dalam lawatan rasmi ini juga Perdana Menteri berkesempatan menyampaikan syarahan khas di Universiti Tokyo bertajuk ‘Humanity in a Human-Machine Civilisation’ pada Selasa (9 Jun).

Syarahan tersebut bakal menyentuh mengenai kepentingan dalam mengimbangi nilai-nilai kemanusiaan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama di era kecerdasan buatan (AI) berkembang dengan pesat.

Tumpuan turut terarah terhadap ucaptama Datuk Seri Anwar pada Persidangan Antarabangsa Nikkei Ke-31 bertemakan Navigating Strategic Uncertainty, yang dijadual berlangsung pada Rabu.

Ucaptama itu dijangka menekankan peranan Malaysia dalam mengemudi lanskap geopolitik yang kompleks.

Ini termasuk dalam menangani cabaran yang timbul akibat ketidaktentuan global serta meneroka peluang-peluang strategik yang berpotensi untuk dimanfaatkan, ke arah menjamin kemakmuran rantau Asia demi kepentingan dan manfaat bersama.

Sumber berita: RTM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *