COE-UAS UniMAP diundang EHang ke Bangkok dalami pembangunan, pelaksanaan ekosistem AAM

Oleh: Sholina Osman
9 JUN 2026

Dalam usaha menjadi peneraju pembangunan teknologi mobiliti udara masa hadapan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Centre of Excellence for Unmanned Aerial Systems (COE-UAS) berpeluang melihat secara dekat pembangunan dan pelaksanaan ekosistem Advanced Air Mobility (AAM) apabila diundang oleh EHang Intelligent South East Asia ke Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Kenyataan media UniMAP memaklumkan pelawaan tersebut bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada delegasi UniMAP mengenai operasi penerbangan sebenar pesawat autonomi EHang melalui projek yang dilaksanakan melalui kerjasama erat antara EHang dan Civil Aviation Authority of Thailand (CAAT).

Pengarah COE-UAS UniMAP merangkap Ketua Delegasi, Prof. Ir. Ts. Dr. Hazry Desa berkata lawatan tersebut membuka ruang kepada UniMAP untuk memahami amalan terbaik antarabangsa dalam mempercepatkan pembangunan teknologi mobiliti udara secara selamat dan mampan serta boleh diaplikasi dalam pelaksanaan Projek Perlis Airace Sandbox.

DENGAN PASUKAN KEJURUTERAAN

“Malah kami dapat berinteraksi dengan pasukan kejuruteraan selain mengadakan sesi perbincangan bersama pegawai CAAT yang terlibat secara langsung dalam pembangunan kerangka regulatori, pensijilan, latihan penyelenggaraan dan pelaksanaan ujian penerbangan dalam persekitaran sandbox.

“Pengalaman yang diperoleh melalui pelaksanaan sandbox di Thailand memberi nilai tambah yang besar kepada pembangunan Projek Perlis Airspace Sandbox,” kata beliau.

Jelas beliau ia bukan sahaja membantu memperkukuh aspek operasi dan keselamatan, malah mempercepatkan usaha kita membangunkan ekosistem Advanced Air Mobility yang berdaya saing di peringkat serantau.

MEMBERIKAN PELUANG BERHARGA

Tambah beliau, lawatan teknikal ini memberikan peluang berharga kepada UniMAP untuk meneliti secara langsung model pelaksanaan Advanced Air Mobility yang sedang berkembang di Thailand.

“Ini akan membantu memperkukuhkan pembangunan Perlis Airspace Sandbox sebagai platform pengujian dan validasi teknologi mobiliti udara masa hadapan yang memenuhi keperluan industri, regulatori dan keselamatan penerbangan antarabangsa.

“Selain itu, kami turut berpeluang mengadakan pertemuan strategik bersama pelabur EHang, Luong Pham, bagi meneroka potensi kerjasama melibatkan pembangunan ekosistem AAM.

KE ARAS PERKONGSIAN

“Malah perbincangan turut menjurus ke arah perkongsian teknologi, pembangunan infrastruktur, pelaksanaan ujian operasi dan peluang pelaburan masa hadapan yang dapat menyokong pembangunan Projek Perlis Airspace Sandbox,” katanya.

Prof. Dr. Hazry menyifatkan pengalaman dan kepakaran yang dikongsi oleh pihak EHang dan CAAT sangat bermanfaat bagi memperkukuhkan kerangka operasi, tadbir urus keselamatan, prosedur airworthiness, pembangunan modal insan dan mekanisme perkongsian data untuk projek tersebut.

Dalam masa yang sama, pihak COE-UAS turut mempelawa EHang untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti yang bakal dilaksanakan di bawah Projek Perlis Airspace Sandbox.

PENERAJU TEKNOLOGI MOBILITI

“Kami percaya penglibatan syarikat peneraju teknologi mobiliti udara itu dijangka mampu mempercepatkan pembangunan ekosistem AAM negara melalui perkongsian pengalaman operasi komersial dan ujian penerbangan yang telah dilaksanakan di beberapa buah negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Dato’ Ts. Dr. Zaliman Sauli, berkata kerjasama strategik bersama pemain industri global merupakan langkah penting dalam memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam arus transformasi teknologi penerbangan masa hadapan.

“UniMAP komited untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi dron dan Advanced Air Mobility di negara ini,” kata beliau.

SEBAGAI PLATFORM SERANTAU

Zaliman berkata jaringan kerjasama antarabangsa seperti ini akan memperkukuh peranan Perlis Airspace Sandbox sebagai platform serantau bagi pengujian, validasi dan demonstrasi teknologi mobiliti udara generasi baharu.

Beliau percaya lawatan ini merupakan satu lagi pencapaian penting bagi COE-UAS, Vertiport Malaysia dan UniMAP dalam usaha meletakkan Perlis Airspace Sandbox sebagai hab pembangunan teknologi mobiliti udara masa hadapan di rantau Asia Tenggara.

“Melalui kerjasama yang semakin kukuh bersama pemain industri global dan pihak berkuasa penerbangan antarabangsa, UniMAP akan terus mengorak langkah ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai peneraju teknologi dron dan Advanced Air Mobility di peringkat serantau,” kata beliau.

Jelas Zaliman sekaligus menarik pelaburan, melahirkan bakat berkemahiran tinggi yang menyokong agenda ekonomi berteknologi tinggi negara,” katanya. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *