




Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
7 JUN 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni pelajar Universiti AIMST di Bedong, Kedah hari ini dalam Majlis Serahan Geran Kerajaan Tahunan serta sesi dialog Temu Anwar yang berlangsung dalam suasana terbuka dan penuh makna.
“Saya mengingatkan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak hanya diukur melalui pertumbuhan ekonomi, pelaburan atau peluang pekerjaan, tetapi juga sejauh mana keadilan dan kesaksamaan dapat dirasai oleh setiap lapisan masyarakat,” kata Anwar dalam perkongsian di FB.
Anwar berkata maka sebab itu tidak boleh berasa selesa dengan pencapaian semasa, sebaliknya terus berikhtiar melakukan yang lebih baik.
PERJUANGAN MENEGAKKAN KEADILAN
Jelas beliau tokoh besar seperti B.R. Ambedkar, yang bangkit daripada latar masyarakat yang sering dipinggirkan dan dihina, mengajar kita bahawa perjuangan menegakkan keadilan, maruah insan dan peluang yang saksama mesti sentiasa menjadi keutamaan.
“Dalam semangat sama, saya mengulangi peringatan Mahatma Gandhi bahawa dunia ini cukup untuk memenuhi keperluan semua, tetapi tidak akan pernah cukup untuk memenuhi ketamakan segelintir pihak,” kata beliau.
Beliau berkata nilai ihsan, hormat-menghormati dan kesederhanaan harus terus menjadi pedoman dalam membina masyarakat yang beradab.
Justeru itu kata beliau generasi muda harus tampil dengan idealisme yang segar, menolak politik kebencian dan perkauman, serta menentukan masa depan negara berasaskan ilmu, perpaduan dan keadilan.
MEMPERTAHANKAN PRINSIP KEADILAN
Anwar berkata Kerajaan MADANI akan terus mempertahankan prinsip keadilan untuk semua.
Jelas beliau selain geran tahunan RM25 juta kepada AIMST, kerajaan turut bersetuju menambah peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membantu lebih ramai pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan mendapat akses pendidikan yang lebih baik di universiti ini.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada mendiang Tun S. Samy Vellu atas jasa dan peranannya dalam penubuhan AIMST,” kata beliau.
Beliau berkata masa depan negara terletak di tangan anak-anak muda, manfaatkan peluang pendidikan ini sebaiknya untuk mengangkat martabat diri, masyarakat dan negara. – JM
