
6 Jun 2026
Kisah Pendaki Wanita bernama Jaslinda Saludin , terus mendapat perhatian rakyat Malaysia khasnya yang mengikuti rapat perkembangan terkini beliau yang telah selamat ditemui petang tadi. Seorang penduduk Orang Asli yang menemukan pendaki Jaslinda, 49, petang tadi mendakwa wanita itu dilihat dalam keadaan terhuyung-hayang bersama satu beg plastik berisi beberapa jenis tumbuhan termasuk cendawan.
Nazri a/l Bah Eng, 55, berkata dia menemukan Jaslinda kira-kira 5 petang ketika dalam perjalanan menuju ke kawasan sungai berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu bersama dua ahli keluarganya.
“Kami kebetulan nak memancing di sungai berkenaan, secara tiba-tiba seorang daripada kami menjumpai Jaslinda dalam keadaan lemah dan menangis. Dia juga ada bawa satu beg plastik yang berisi cendawan.
“Dalam keadaan itu, saya terus bawa dia balik ke rumah tok batin di kampung berkenaan dan kami beri dia makan serta minum kerana keadaannya kelihatan terlalu letih,” katanya ketika ditemui di Hospital Tapah, di Perak hari ini.
Nazri berkata selepas memastikan mangsa berada dalam keadaan selamat, dia segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan penemuan berkenaan sebelum pasukan mencari dan menyelamat (SAR) tiba di lokasi.
Sumber: Bernama
