
RANTAU PANJANG, 5 Jun– Sejumlah 1,400 pokok bunga orkid yang dipercayai diseludup dari Thailand dirampas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara dalam Op Taring Wawasan Kelantan di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira pukul 4 petang itu, anggota Strike Force Sektor A, Kompeni A Batalion 8 PGA turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan terbabit menemukan sejumlah besar pokok bunga orkid yang dipercayai dibawa masuk tanpa kebenaran serta disyaki mengandungi serangga perosak.
“Hasil soal siasat awal mendapati bekalan pokok orkid itu dipercayai diperoleh dari kawasan sekitar Kampung Rahmat, Rantau Panjang sebelum dirancang untuk dipasarkan ke negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu dan Pahang.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM400,000 membabitkan pokok orkid bernilai RM280,000 dan sebuah kenderaan pacuan empat roda bernilai RM120,000,” katanya menerusi kenyataan.
Kes berkenaan telah diserahkan kepada Jabatan Pertanian Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976.
Briged Tenggara PGA akan terus mempertingkatkan pemantauan dan operasi penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyeludupan serta kemasukan bahan tanaman yang berisiko membawa perosak dan penyakit ke negara ini.
Sumber berita: RTM
