YANG DI-PERTUAN AGONG NASIHAT AHLI POLITIK JAGA ADAB DAN TUTUR KATA MENJELANG MUSIM PILIHAN RAYA

KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah menasihati pemimpin politik untuk menjaga adab dan tutur kata, serta mengelak provokasi serta pertikaian isu sensitif.

“Akhir-akhir ini, bahang pilihan raya telah mula terasa dan orang politik telah mula mengatur langkah untuk menonjolkan diri bagi memikat hati rakyat.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Elakkan provokasi dan pertikaian tentang isu sensitif yang berkaitan dengan raja, bangsa dan agama, kerana ianya boleh menimbulkan kemarahan rakyat,” titah Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini (1 Jun).

Seri Paduka Baginda turut bertitah penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (A.I) merumitkan lagi suasana dengan penghasilan dan penyebaran berita palsu menggunakan suara dan gambar tiruan “deepfake”.

“Kebebasan bersuara di media sosial bukan medan untuk menabur fitnah dan kebencian di kalangan rakyat.

“Saya menyeru kepada pihak berkuasa untuk terus meningkatkan pemantauan dan mengambil tindakan bagi membendung perkara tersebut,” titah Sultan Ibrahim.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *