𝐒𝐔𝐋𝐓𝐀𝐍 𝐈𝐁𝐑𝐀𝐇𝐈𝐌 𝐁𝐄𝐑𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀𝐓 𝐊𝐄 𝐈𝐒𝐓𝐈𝐀𝐃𝐀𝐓 𝐏𝐄𝐍𝐆𝐔𝐑𝐍𝐈𝐀𝐀𝐍 𝐃𝐀𝐑𝐉𝐀𝐇 𝐊𝐄𝐁𝐄𝐒𝐀𝐑𝐀𝐍

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat ke Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 di Istana Negara, di ibu negara.

Turut berangkat ke istiadat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong itu ialah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Perdana Menteri dan isteri kemudian mengiringi Seri Paduka Baginda berdua ke Peterana Diraja di Dataran Istana Negara bagi menerima Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama, Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Kawalan Kehormatan Utama itu terdiri daripada sembilan pegawai dan 180 anggota lain-lain pangkat diketuai Kapten Nor Saifullah Mahmad@ Mohammed.

Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat RAMD dan Panji Peribadi Yang di-Pertuan Agong dikibarkan, diikuti tembakan meriam 21 das oleh 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Sultan Ibrahim kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sebelum sekali lagi menerima Hormat Diraja bagi menandakan tamatnya istiadat di dataran itu.

Seri Paduka Baginda berdua seterusnya diiringi Perdana Menteri dan isteri ke Balairung Seri bagi menyempurnakan istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2026 kepada 161 individu penerima.

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *