MALAYSIA MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA DAN MENOLAK RANCANGANREJIM ZIONIS ISRAEL UNTUK MERAMPAS 70 PERATUS WILAYAH PALESTIN DI GAZA

30 Mei 2026

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan yang baru diumumkan oleh rejim Zionis Israel untuk
merampas serta memperluaskan kawalannya ke atas 70 peratus wilayah Gaza.

Tindakan tersebut menyalahi undang-undang dan sama sekali tidak boleh diterima.

Ia merupakan
pelanggaran nyata oleh rejim tersebut terhadap undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung
PBB.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menolak dan
membantah rancangan rejim Zionis tersebut.

Gaza merupakan sebahagian daripada Wilayah Palestin
yang telah lama wujud sebelum penubuhan negara haram Israel.

Sebarang usaha untuk mengubah
hakikat tersebut hanya akan mengakibatkan ketidakadilan yang lebih ketara serta memburukkan lagi
keadaan keselamatan dan keamanan yang sedia rapuh di rantau berkenaan.

Rakyat Gaza terus menderita akibat tindakan genosid dan kemusnahan yang dilakukan oleh rejim Zionis
Israel.

Sebarang bentuk pengilhakan wilayah Palestin adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa
dan tidak boleh dibenarkan.

Tindakan tersebut dengan jelas mencerminkan niat terancang untuk
menafikan hak-hak sah rakyat Palestin, termasuk hak mereka untuk menubuhkan sebuah negara yang
merdeka dan berdaulat di tanah air mereka sendiri yang merangkumi Tebing Barat, Gaza dan
Baitulmaqdis Timur.

Malaysia menegaskan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap rakyat Palestin serta sokongan
berterusan negara terhadap penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat
berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

PUTRAJAYA
30 Mei 2026

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *