OPERASI SAR MANGSA HILANG DI GUNUNG BATU PUTIH DIPERKUKUH DENGAN PENAMBAHAN ANGGOTA DAN ASET UDARA

Perak, 30 Mei – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang mangsa yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih diteruskan hari ini dengan pengukuhan anggota penyelamat serta penggunaan aset udara bagi memperluaskan kawasan pencarian.

Dalam operasi yang dikemas kini pada jam 9.10 pagi, seramai 16 anggota pasukan penyelamat telah dihantar masuk ke lokasi menggunakan pesawat AW139. Pasukan itu terdiri daripada enam anggota Pasukan STORM Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dua anggota Team Pelindung Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), lima anggota Jabatan Perhutanan serta tiga Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Mereka ditempatkan di Puncak Gunung Batu Putih dan lokasi winching point baharu di Kem Kantoi bagi memperkukuh operasi pencarian di kawasan berisiko dan sukar diakses.

Selain operasi darat, pasukan Pelindung PERHILITAN bersama pasukan penyelamat turut akan mengambil cip kamera pengawasan yang dipasang di beberapa laluan hutan untuk tujuan semakan dan analisis rakaman. Langkah itu diambil bagi mengenal pasti sebarang petunjuk yang boleh membantu mengesan pergerakan mangsa.

Sementara itu, seramai 34 anggota yang telah berada dan bermalam di kawasan operasi sejak semalam terus melaksanakan pencarian di sektor yang telah ditetapkan. Dengan penambahan 16 anggota pagi ini, jumlah keseluruhan pasukan penyelamat yang terlibat dan berada di lokasi pencarian kini meningkat kepada 50 orang.

Operasi SAR bersepadu itu diteruskan dengan kerjasama pelbagai agensi dalam usaha mengesan mangsa secepat mungkin.

Sumber: JBPM Perak

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *