



Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
29 MEI 2026
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegaskan bahawa kecintaan terhadap ilmu tidak seharusnya lahir kerana peperiksaan, pengiktirafan atau janji untuk kedudukan semata.
Beliau berkata ini kerana yang lebih utama ialah tercetusnya rasa nikmat dalam menuntut ilmu, atau apa yang disebut oleh para ilmuwan sebagai lazzatul ma’rifah.
“Lantaran itu, saya menghargai sambutan luar biasa rakyat terhadap Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun ini bermula hari ini sehingga 7 Jun kelak,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
MEMBERI ISYARAT JELAS
Jelas beliau kehadiran ibu bapa, para guru dan pendidik, mahasiswa dan anak-anak memberi isyarat jelas bahawa budaya membaca dan menimba ilmu pengetahuan masih mempunyai tempat yang istimewa dalam jiwa masyarakat.
Justeru, kata Perdana Menteri cabaran dewasa ini bukan lagi soal kekurangan maklumat, tetapi bagaimana memilih ilmu yang bermutu dan bermanfaat.
“Mari bersama kita manfaatkan kesempatan ini untuk membina generasi yang cintakan pembacaan, luas pengetahuannya, dan teguh nilai kemanusiaannya, demi sebuah Malaysia yang madani, berbudaya dan berperadaban,” tambah beliau. – JM
