
ARAFAH 26 Mei -Seluruh jemaah haji Malaysia kini selamat berada di Arafah bagi menunaikan rukun terpenting ibadah haji iaitu wukuf.
Suasana di khemah-khemah penempatan jemaah dipenuhi dengan bacaan al-Quran, zikir, selawat dan munajat, sementara ribuan jemaah mengambil peluang memperbanyakkan ibadah menjelang tibanya waktu mustajab doa yang dinanti-nantikan setiap tetamu Allah.
Walaupun cuaca panas dan kadang kala sedikit mencabar fizikal, ia tidak menghalang jemaah untuk terus menghidupkan suasana Arafah dengan amal ibadah serta pengharapan penuh keampunan daripada Allah SWT.
Rata-rata jemaah menyifatkan peluang berada di bumi Arafah sebagai detik paling menyentuh hati sepanjang perjalanan haji mereka kerana di sinilah tempat terbaik untuk bermuhasabah, memohon keampunan serta menitipkan doa buat keluarga dan insan tersayang di tanah air.
Tinjauan RTM mendapati, ada dalam kalangan jemaah yang dilihat mengambil kesempatan bersendirian di luar khemah untuk berzikir dan berdoa, manakala sebahagian lagi mengikuti pengisian ibadah serta tazkirah yang disediakan petugas Tabung Haji bagi membantu jemaah memanfaatkan sepenuhnya hari yang penuh kemuliaan itu.
Bagi kebanyakan jemaah, waktu menjelang wukuf dianggap saat paling dinanti kerana mereka percaya doa yang dipohon pada hari Arafah mempunyai keistimewaan tersendiri dan menjadi antara waktu paling mustajab untuk bermunajat kepada Allah SWT.
Selepas selesai wukuf nanti, jemaah dijadual bergerak ke Muzdalifah sebelum meneruskan ibadah melontar di Mina sebagai sebahagian daripada kemuncak pelaksanaan ibadah haji tahun ini.
Sumber: RTM
