FINAS LANCAR PROGRAM BELIA KREATIF KOMUNITI MADANI, METERAI KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA TIKTOK MALAYSIA

BUKIT JALIL, 24 Mei 2026 – Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini
merasmikan Program Belia Kreatif Komuniti MADANI sempena Penutupan Hari Belia
Negara 2026 (HBN2026) peringkat Wilayah Persekutuan yang berlangsung di
PIAZZA, Pavilion Bukit Jalil.

Kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan
Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan Majlis Belia Wilayah Persekutuan (MBWP)
ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengiktiraf belia sebagai penggerak
utama ekonomi digital dan naratif Malaysia MADANI.

Program ini memainkan peranan penting serta mempunyai signifikan yang besar
dalam pembangunan modal insan belia berkemahiran tinggi, sekali gus menjadi
tunjang utama dalam menyokong peralihan pelbagai sektor ekonomi ke arah aktiviti
yang berasaskan pengetahuan, teknologi dan inovasi, selaras dengan keperluan
pembangunan negara masa kini.

YB Datuk Fahmi turut mengumumkan serta melancarkan dua inisiatif, iaitu:

(i) Dana Pemangkin Generasi MADANI – berfokus kepada pembangunan
kandungan berteraskan aspirasi belia dan Malaysia MADANI melibatkan
telefilem, dokumentari, filem pendek dan dokumentari pendek. Permohonan
akan dibuka bermula 1 hingga 30 Jun 2026; dan

(ii) Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Program Reel
MADANI@Kampus kepada 15 institusi pengajian tinggi awam dan
swasta – sebuah program galakan pelajar dalam penerbitan kandungan
video pendek atau reel berkualiti, kreatif dan berteraskan nilai-nilai Malaysia
MADANI untuk penyertaan di Festival Filem Pendek & Video (FFPV)
anjuran FINAS.

Pada majlis yang sama, turut diadakan upacara penyerahan Letter of Intent (LoI)
daripada FINAS kepada TikTok Malaysia. Kerjasama strategik ini secara rasmi akan
membina ekosistem sokongan yang lebih kukuh dalam usaha melahirkan generasi
pencipta kandungan yang berkaliber, beretika dan berdaya saing.

Dengan kepakaran FINAS dalam pengawalseliaan serta pembangunan industri
perfileman serta inovasi TikTok dalam teknologi digital, kolaborasi ini membuka lebih
banyak peluang kepada belia tempatan untuk memasarkan karya kreatif mereka ke
peringkat antarabangsa.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif)
Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Bahria Mohd Tamil; Pengerusi FINAS, YBhg.
Dato’ Hans Isaac; dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, YBhg. Dato’ Azmir Saifuddin
Mutalib.

Dikeluarkan oleh:
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS)

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *