

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
25 MEI 2026
Kerajaan bersetuju meneruskan inisiatif BUDI MADANI: BUDI Agri-Komoditi secara bersasar demi membantu pekebun kecil, pengusaha serta golongan rentan yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini kerana Kerajaan MADANI memahami denyut nadi rakyat yang sedang berdepan tekanan kenaikan kos dan ketidaktentuan ekonomi dunia.
Anwar menambah terkait dengan jaminan kesihatan rakyat, secara keseluruhannya, bekalan ubat masih stabil.
“KKM akan terus memantau dengan rapi sebarang cabaran rantaian stok mahupun harga bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa keadaan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.
Terdahulu Anwar hari ini mendengar pembentangan utama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam merungkai krisis rantaian bekalan global yang kian menekan sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Anwar berkata walau apa jua cabaran yang mendatang, Kerajaan MADANI akan terus bekerja keras, bertindak dengan ihsan dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan negara. – JM
