‘Saya lihat sisi paling kejam manusia!’ – Aktivis GSF dedah perangai Israel

AMSTERDAM, 23 Mei – Aktivis Global Sumud Flotilla yang dibebaskan selepas diculik Israel mendakwa mereka berdepan layanan kejam dan tidak berperikemanusiaan ketika dalam tahanan.

Ketibaan kumpulan aktivis itu di Lapangan Terbang Schiphol disambut ahli keluarga dan penyokong pro-Palestin yang membawa sepanduk serta melaungkan slogan solidariti untuk Gaza.

Salah seorang aktivis, Cerisa van Kesteren mendakwa tentera zionis Israel bertindak agresif sebaik menaiki kapal bantuan berkenaan.

Menurutnya, para aktivis dipisahkan, digari serta dipaksa berlutut ketika ditahan.

Katanya, tahanan tidak diberikan makanan dan air untuk tempoh yang lama selepas dibawa ke Pelabuhan Ashdod.

Seorang lagi aktivis, Pieter Rambags pula menyifatkan pihak berkuasa Israel melakukan pencabulan hak asasi manusia sepanjang tempoh tahanan.

Katanya, tahanan diletakkan dalam kenderaan bersuhu tinggi tanpa bekalan air dan makanan mencukupi selain menerima layanan buruk di penjara di Gurun Negev.

Israel memintas konvoi Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa sebelum menahan 428 aktivis daripada lebih 40 negara.

Konvoi itu membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza yang kini berdepan kekurangan makanan, ubat-ubatan dan bekalan asas akibat sekatan darat serta laut berterusan oleh Israel.

Tindakan Israel itu turut mencetuskan kecaman antarabangsa selepas Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir memuat naik rakaman tahanan aktivis dalam keadaan mata ditutup dan tangan diikat. –

VIORY

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *