Jalinan kerjasama strategik Perlis-UMSU terus diperkasa

Oleh: Sholina Osman
21 MEI 2026

Jalinan kerjasama strategik antara Negeri Perlis dan Universitas Muhammadiah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia terus diperkasa secara menyeluruh, merangkumi sektor pendidikan tinggi, pembangunan industri serta pengukuhan peradaban Melayu serantau sebagai teras kemajuan bersama.

Maklumat tersebut dipersembah maklum oleh Ketua Badan Pembina Harian (BPH) Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Prof. Dr. Agussani, dalam sesi mengadap bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri Diraja Arau baru-baru ini.

Turut hadir ialah Rektor UMSU yang baharu, Prof. Dr. Akrim, dan Rektor Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM), Dr. H. Saidul Amin.

Turut hadir, Pengerusi Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

SEBUAH PERSIDANGAN ANTARABANGSA

Dalam sesi tersebut, UMSU memaklumkan perancangan untuk menganjurkan sebuah persidangan antarabangsa di Medan, Indonesia yang dijangka akan disempurnakan perasmian oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra pada bulan September ini bagi terus memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama global.

Sebagai langkah memperluas kehadiran Perlis di Sumatera Utara, cadangan penubuhan Anjung Perlis @ UMSU atau “Ruang Faizuddin” di Auditorium Berkemajuan UMSU turut diketengahkan sebagai pusat promosi dan penyebaran maklumat negeri ini. UMSU juga dicadang untuk berperanan sebagai “Duta Perlis” di wilayah tersebut bagi mempertingkat kerjasama diplomatik dan ekonomi secara berterusan.

Dalam bidang akademik, kerjasama akan diperkasa melalui pelaksanaan projek Kajian Peradaban Melayu yang melibatkan Perlis dan Sumatera Utara, dengan fokus kepada pemeliharaan warisan, pemikiran serta nilai-nilai serantau.

BEBERAPA BIDANG KERJASAMA

Dari sudut pembangunan strategik, beberapa bidang kerjasama utama telah dikenal pasti.

Ia termasuk pengukuhan sektor semikonduktor dengan sokongan kepakaran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selaras dengan dasar industri Indonesia, pemantapan teknologi automasi dan kecerdasan buatan (AI) menerusi platform FCoEE, khidmat kepakaran UniMAP dalam pembangunan kawasan industri di Sumatera Utara, serta penerokaan kerjasama dalam sektor pertanian dan perikanan melibatkan rantaian bekalan koko, sawit dan industri perikanan.

Kerjasama ini turut diperluas kepada penubuhan Pusat Kecemerlangan Kajian Asnaf di Sumatera Utara, pengaktifan Majlis Ilmuan Nusantara bagi penyelarasan fatwa dan pemikiran kontemporari, serta penubuhan Majlis Kerjasama Pendidikan Tinggi yang melibatkan UMSU, UMAM dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) bagi memastikan penyelarasan strategik yang berterusan.

Kedudukan strategik Perlis dan Medan yang saling berdekatan dilihat sebagai kelebihan signifikan dalam memperkukuh jaringan rentas sempadan, membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelbagai sektor.

Keseluruhannya, kerjasama erat ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ilmu, teknologi dan ekonomi serantau yang lebih mampan, progresif serta berdaya saing di peringkat antarabangsa. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *