MCMC DAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR PERANGI VANDALISME
INFRASTRUKTUR TELEKOMUNIKASI

SHAH ALAM, 19 Mei 2026 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor hari ini melancarkan
Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri
Selangor Tahun 2026 sebagai langkah proaktif untuk memperkukuh perlindungan
terhadap infrastruktur komunikasi di negeri ini.

Pelaksanaan kempen yang dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri
Besar Selangor ini adalah susulan daripada peningkatan ketara kes vandalisme dan
kecurian kabel telekomunikasi di Negeri Selangor yang semakin membimbangkan.

Berdasarkan data semasa, Selangor kekal mencatatkan bilangan kes vandalisme
infrastruktur telekomunikasi tertinggi di Malaysiaiaitu 1,836 kes pada tahun 2024
dan 1,273 kes pada tahun 2025.

Pada masa sama, Wilayah Tengah yang meliputi
Selangor dan Kuala Lumpur turut merekodkan jumlah kes tertinggi di peringkat
nasional bagi tahun 2025.

Aktiviti vandalisme seperti kecurian kabel, kerosakan pencawang dan pemotongan
rangkaian komunikasi bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada industri,
malah memberi kesan langsung kepada rakyat melalui gangguan capaian Internet,
komunikasi harian, operasi perniagaan, pembelajaran digital serta perkhidmatan
kecemasan.

Sejak kebelakangan ini, beberapa rakaman video tular di media sosial turut
memaparkan kegiatan kecurian kabel yang dilakukan secara terbuka, termasuk
pada waktu siang dan di kawasan awam.

Perkembangan ini menunjukkan keperluan tindakan yang lebih tegas dan
menyeluruh bagi menangani isu tersebut.

Antara inisiatif utama yang diperkenalkan menerusi kempen ini termasuk:

  1. Penubuhan Jawatankuasa Khas Pencegahan Vandalisme Infrastruktur
    Telekomunikasi yang melibatkan MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM),
    pihak berkuasa tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta
    pemain industri bagi memperkukuh penyelarasan maklumat, pemantauan
    dan tindakan penguatkuasaan;
  2. Pelaksanaan sesi literasi dan kesedaran awam bersama agensi penguat
    kuasa dan pemain industri mengenai impak vandalisme terhadap
    keselamatan, ekonomi dan kesinambungan perkhidmatan komunikasi
    negara;
  3. Program kesedaran bersasar di kawasan berisiko tinggi (hotspots) seperti
    Rawang, Gombak dan Bangi, yang akan dilaksanakan secara berterusan
    sepanjang tahun 2026 dengan kerjasama syarikat telekomunikasi dan
    komuniti setempat.
    Kempen ini turut menekankan bahawa usaha melindungi infrastruktur
    telekomunikasi bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak industri
    semata-mata, tetapi merupakan tanggungjawab bersama seluruh masyarakat.

Peranan penduduk setempat, guru, ibu bapa, golongan belia, ketua kampung serta
pemimpin komuniti amat penting dalam membantu meningkatkan kesedaran.

Masyarakat juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa
sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi.

Dalam ucapannya, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari menegaskan bahawa
keselamatan infrastruktur telekomunikasi merupakan elemen penting dalam
memastikan agenda pembangunan digital Negeri Selangor terus berkembang
secara stabil, selamat dan mampan.

Beliau turut menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak industri dan
masyarakat agar memainkan peranan bersama dalam melindungi infrastruktur
komunikasi yang menjadi tunjang kepada kehidupan moden dan pertumbuhan
ekonomi digital negeri.

MCMC kekal komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama
semua pemegang taruh dalam usaha mengurangkan risiko gangguan perkhidmatan
telekomunikasi serta memastikan kesejahteraan digital rakyat terus terpelihara.

Turut hadir adalah kepimpinan tertinggi MCMC, agensi penguat kuasa, pihak
berkuasa tempatan, penggiat industri telekomunikasi serta wakil komuniti setempat.

KOMUNIKASI KORPORAT MCMC

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *