Lebih ramai pelajar pelancong dari Kemboja dipelawa ke Malaysia – PMX

Wartawan JM
Foto: Pejabat Perdana Menteri (PMO)
9 MEI 2026

Malaysia mempelawa lebih ramai pelajar dan pelancong dari Kemboja ke negara ini selaras dengan semangat keterbukaan dan pembangunan bersama ASEAN.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dalam dunia yang semakin berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tantangan ekonomi, ASEAN mesti terus diperkasa sebagai wahana keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau yang berpaksikan saling yakin serta kepentingan bersama.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dua hala bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, petang ini.

SEMANGAT PERSAHABATAN SERANTAU

Ia berlangsung dalam semangat persahabatan serantau yang terus diperkukuh demi kesejahteraan bersama rakyat kedua-dua negara.

Anwar berkata Malaysia menghargai hubungan yang telah lama terjalin dengan Kemboja, termasuk peningkatan hubungan antara rakyat, kerjasama ekonomi serta ikhtiar memperluas jaringan strategik dalam pelbagai bidang.

“Kami turut menzahirkan komitmen untuk memperhebat kerjasama dalam sektor perdagangan, kewangan, pendidikan tinggi, halal, pertanian dan pelancongan,” kata Anwar dalam hantaran di FB.

Beliau berkata ia dapat memperkukuh tatakelola keselamatan serantau khususnya dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta penipuan pekerjaan yang semakin membimbangkan. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *