Para pelajar diseru memanfaatkan kepesatan dunia digital secara optimum – Raja Muda Perlis

Oleh: Sholina Osman
Foto : YTSP Perlis
8 MEI 2026

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru para pelajar agar memanfaatkan kepesatan dunia digital secara optimum demi memperkasa pembelajaran dan pembangunan diri.

Baginda bertitah agar kemudahan seperti Sudut Digital dimanfaatkan sepenuhnya sebagai platform untuk memperkukuh pembelajaran kendiri, menguasai kemahiran ICT serta merangsang daya kreativiti dalam kalangan pelajar.

“Gunakan teknologi dengan adab dan integriti. Binalah sahsiah yang tinggi dengan sentiasa menghormati guru, menjaga tutur kata termasuk di media sosial serta menjauhi penyebaran maklumat palsu. Jadilah pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga tinggi nilai akhlaknya,” titah Baginda.

DIJADIKAN SEBAGAI AZAM

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyeru agar slogan “SMK Derma Must Be Number One” dijadikan sebagai azam di kalangan warga sekolah berterusan untuk mencapai kecemerlangan menyeluruh merangkumi sahsiah, akademik, inovasi dan kepimpinan.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Titian Kasih Mega 2026 Peringkat SMK Derma, di Kangar baru-baru ini.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengetua Sekolah, Saniyah Abdullah.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid), Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob, Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis , Datuk Johari Mohd Darus dan Ketua Penyelaras Program Titian Kasih, Mejar Muhamad Azuan Mohamad Nasir.

481 ORANG PELAJAR

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis berkenaan melibatkan kehadiran seramai 481 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga, terdiri daripada 215 pelajar lelaki dan 266 pelajar perempuan.

Dalam ucapannya, Pengetua SMK Derma memaklumkan bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini terus mengekalkan SMK Derma sebagai sekolah harian terbaik di negeri Perlis, walaupun mencatat sedikit perubahan dalam Gred Purata Sekolah (GPS) kepada 2.50 berbanding 2.01 pada tahun sebelumnya.

Dari segi pencapaian koakademik Bahasa Melayu, SMK Derma telah meraih johan Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan serta johan Pertandingan Bicara Berirama, selain turut menerima anugerah Konduktor Terbaik.

MUNCUL JOHAN PERTANDINGAN

Bagi kategori Bahasa Inggeris pula, sekolah ini muncul johan Pertandingan Scrabble peringkat negeri Perlis serta menjuarai Pertandingan Digital Storytelling Animation peringkat kebangsaan 2025.

Dalam bidang inovasi dan teknologi, pasukan sekolah ini turut mencipta kejayaan membanggakan apabila menjuarai RoboCup Malaysia Open 2025 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerusi kategori Junior League Rescue Maze dan Inspiring Innovation Poster Award, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan Junior League.

Pencapaian kokurikulum juga cemerlang apabila pelajar SMK Derma berjaya meraih johan Kejohanan Memanah MSSM 2025 (acara berpasukan), johan Bravo Invitation Taekwondo Championship 2025 serta johan acara lompat tali dalam Karnival Sukan Perpaduan Negeri Perlis.

MENGHARUMKAN NAMA NEGARA

Selain itu, pelajar sekolah ini turut mengharumkan nama negara apabila meraih pelbagai pingat emas dalam pertandingan inovasi peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk eReka 2025, X-Cipta 2025, I3 Innovation Competition 2025, 3rd International Innovation & Invention Competition serta Borneo International Innovation Creativity Competition 2025.

Sempena majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyempurnakan perasmian Pusat Sumber Az-Zahrawi yang dilengkapi kemudahan moden seperti capaian WiFi, tablet dan komputer riba serta menyediakan lebih 10,000 naskhah buku. Pusat ini juga berperanan sebagai hab penganjuran bengkel teknologi termasuk percetakan 3D dan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan keperluan pendidikan masa kini.

Majlis ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa pendidikan digital dan melahirkan generasi pelajar yang berilmu, berkemahiran serta berakhlak mulia. – JM

Arkib

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *